GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Tempoh reman terhadap suami isteri disyaki mendera seorang kanak-kanak di Felda Raja Alias Empat, di sini, pada 4 Jun lalu, disambung tiga hari lagi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kedua-dua suspek berusia 34 dan 35 tahun itu sebelum ini direman empat hari bermula Sabtu lalu hingga hari ini.

Beliau berkata, sambungan reman sehingga Jumaat ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Ketika ini, kanak-kanak berusia 10 tahun itu berada di wad Hospital Tuanku Ampuan Najihah ( HTAN) Kuala Pilah dan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Jempol," katanya.

Media sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri ditahan polis selepas mendera kanak-kanak terbabit selepas orang ramai melaporkan kejadian itu kepada polis.

Mereka pada mulanya direman selama empat hari manakala kanak-kanak terbabit yang juga adik kepada suspek lelaki dihantar ke HTAN bagi menerima rawatan.

Mangsa dipercayai membaling batu ke arah rumah jiran menyebabkan dia dipukul dengan rotan dan pernah dipukul dengan penyangkut baju pada Ramadan lalu kerana disyaki mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 8:20 PM