GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Sabah, semalam, mencatatkan lagi empat kluster baharu di mana dua daripadanya berpunca daripada aktiviti ziarah ketika sambutan Aidilfitri lalu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, dua kluster terbabit membabitkan Kluster Kampung Bolong Baru - Tuaran di daerah Kota Belud dan juga Kluster Taman Wawasan - Beaufort, Papar di Kota Kinabalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes indeks bagi Kluster Kampung Bolong Baru - Tuaran adalah seorang suri rumah, 28, dari Kampung Bolong Baru yang mengalami gejala demam, sakit tekak, selesema, batuk dan hilang deria bau sejak 22 Mei sebelum disahkan positif pada 27 lepas.

"Susulan penemuan kes positif itu, saringan kontak dijalankan bermula pada 27 Mei terhadap 259 kontak rapat dan tempat kerja iaitu QL Marine, Tuaran. Daripada jumlah terbabit, 26 kes positif didaftarkan di daerah Tuaran, manakala tujuh kes lagi di daerah Kota Belud, menjadikan jumlah terkini sebanyak 33 kes.

"Kluster Taman Wawasan - Beaufort, Papar, Kota Kinabalu pula direkodkan di Hospital Papar di mana kes indeks seorang lelaki berusia 66 tahun, disahkan positif pada 18 Mei, setelah bergejala sejak 7 Mei 2021 namun tidak mendapatkan rawatan.

"Saringan kontak pada 22 Mei 2021 mendapati dua kes positif masing-masing di Klinik Kesihatan dan klinik swasta di Kota Kinabalu. Kedua-dua kontak rapat ini terbabit dengan aktiviti ziarah Aidilfitri di Kampung Tarap Bongawan.

"Turut dikesan positif, empat sekeluarga di Taman Wawasan Beaufort yang membawa kepada penemuan 16 lagi kes positif di taman terbabit. Pada hari ini, tujuh kes baharu dikesan positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 30 kes," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Selain dua kluster terbabit, Masidi turut berkata, dua lagi kluster yang dikesan iaitu

Kluster Hamparan di Kinabatangan yang membabitkan tempat kerja dan Kluster Jalan Budi di Tawau yang membabitkan aktiviti rentas negeri.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, kes indeks Kluster Hamparan adalah pekerja pengurusan wanita berusia 26 tahun di Kilang Sawit Ong YaHoo.

"Dia disahkan positif di Klinik Swasta Mabello Paris 3 pada 29 Mei setelah mengalami gejala sejak 25 Mei lepas. Saringan kontak mendapati 17 kes positif di tempat kerja serta sembilan kes lagi adalah kontak tanggungan (dependant), menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 27 kes.

"Selain itu, Kluster Jalan Budi pula membabitkan individu yang dikesan negatif ketika menjalani saringan masuk ke Sabah pada 19 Mei, namun disahkan positif dalam saringan Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) pada 2 Jun lepas.

"Kes indeks adalah wanita berusia 37 tahun, pekerja salun kecantikan di Johor mula bergejala

pada 30 Mei sebelum didapati positif pada 2 Jun 2021.

"Saringan kontak rapat kemudian menemukan sembilan kes positif dalam kalangan rakan serumah, menjadikan jumlah terkini sebanyak 10 kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 8:14 AM