GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sudah membuat pembetulan berhubung kekhilafan dalam satu hantaran di media sosial mengatakan seorang kakitangan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Labuan yang meninggal dunia akibat Covid-19 dijangkiti virus itu ketika menguruskan jenazah di Labuan.

Hantaran itu dimuat naik di laman Facebook rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pagi tadi sebelum ia tular di platform berkenaan.

Bagaimanapun, jurucakap pejabat menteri itu ketika dihubungi Harian Metro menerusi aplikasi WhatsApp menjelaskan pihaknya sudah membuat pembetulan mengenai hantaran terbabit petang tadi.

Pembetulan itu dilakukan selepas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Labuan memaklumkan bahawa kakitangannya, arwah Datu Mohd Sadam Turan yang meninggal dunia akibat Covid-19 bukannya berpunca disebabkan terbabit dengan pengurusan jenazah pesakit wabak itu.

Ketua Penolong Mufti Labuan Dr Ahmad Zaky Md Ali @ Tahir ketika dihubungi turut mengesahkan perkara terbabit.

"Arwah dijangkiti Covid-19 tiada kaitan dengan pengurusan jenazah pesakit Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 7:43 PM