PELAJAR mengikuti kaedah PdPR diberi oleh guru secara dalam talian. FOTO Saifullizan Tamadi
PELAJAR mengikuti kaedah PdPR diberi oleh guru secara dalam talian. FOTO Saifullizan Tamadi
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta Kementerian Pendidikan (KPM) menilai semula pelaksanaan beberapa program yang boleh mengganggu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan berkata, program tersebut termasuk Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) dan Perancangan Strategik Organisasi (PSO) Pembudayaan KBAT; serta pelaksanaan Penarafan Sekolah Peluasan yang membudayakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT); kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); Dialog Prestasi; Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) dan Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP).

"KPM perlu menilai semula pelaksanan program berkenaan kerana ia akan menambah beban serta mengganggu tumpuan guru ketika melaksanakan PdPR," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tan berkata, pendidik perlu memberi tumpuan penuh kepada PdPR kerana murid dilihat masih belum mendapat pendidikan yang sempurna sejak pandemik Covid-19 berikutan PdP secara bersemuka kerap tergendala.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya mengalukan pelaksanaan program yang sudah disusun atur itu, namun ketika ini NUTP berpandangan perlu memberi tumpuan kepada pendidikan terlebih dahulu.

Justeru, Tan berkata, NUTP meminta program lain ditangguhkan buat sementara waktu dengan memberi ruang kepadaguru memberi tumpuan penuh penambahbaikan PdPR.

"Penerimaan dan keberkesanan PdPR terhadap murid perlu dijadikan perkara paling utama dalam pendidikan ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 12:44 PM