Antara pelajar yang menerima makanan oleh pihak pengurusan UiTM Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Antara pelajar yang menerima makanan oleh pihak pengurusan UiTM Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Alor Gajah: Kesedihan 244 penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang tidak dapat pulang ke kampung sejak 1 Syawal lalu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 terubat apabila

kebajikan mereka dijaga rapi.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Melaka, Mohd Nor Hajar Hasrol Jono berkata, pihak universiti membuka 'Foodbank Siswa The Pantry' khusus bagi menyalurkan bantuan makanan percuma kepada penuntut terbabit.

Katanya, keputusan penuntut terbabit untuk kekal berada di kampus bagi menjalani pembelajaran secara atas talian (ODL) mendorong pihak pengurusan mengambil berat terhadap keselamatan dan kesejahteraan mereka sepanjang berada di kampus.

"Mereka seperti anak kami sendiri, setiap keperluan mereka diberi perhatian kerana mereka kini berjauhan dengan keluarga. Malah ada yang berasal dari Sabah dan Sarawak.

"Terdapat juga beberapa penuntut yang menetap di luar kampus sekitar Alor Gajah, Merlimau dan Bandaraya Melaka. Mereka turut diberi perhatian termasuk tahap kesihatan dipantau," katanya.

Menurutnya, kerjasama daripada Staf Residen Kolej (SRK) dan Staf Residen Kolej Non-Residen (SRKNR) memudahkan pihaknya menyampaikan sumbangan seperti beras, minyak masak, telur dan sardin.

Sementara itu salah seorang penuntut Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Mohamad Hafiz Abd Rahman, 22 berkata, dia amat berterima kasih dengan pihak pengurusan UiTM Melaka yang amat mengambil berat kebajikan penuntutnya.

"Alhamdulillah makanan yang disajikan juga sangat sedap dan kami amat gembira dengan tindakan pihak universiti dalam menjaga kebajikan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 6:55 PM