GAMBAR hiasan. FOTO GHAZALI KORI

GAMBAR hiasan. FOTO GHAZALI KORI

Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan negeri menafikan menjual vaksin Covid-19 kepada rakyat Negeri Sembilan melalui Invest NS, seperti dakwaan pihak tertentu yang tular di media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, kenyataan dikeluarkan pihak berkenaan adalah tanpa pengetahuan dan kebenaran.

"Saya tegaskan bahawa kenyataan dikeluarkan itu tidak benar dan menafikan sekeras-kerasnya kerana dikeluarkan tanpa mendapatkan kebenaran, pandangan dan tanpa pengetahuan saya.

"Vaksinasi diberikan kepada rakyat Negeri Sembilan adalah percuma melalui Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) disediakan.

"Kerajaan Persekutuan tidak mengenakan sebarang bayaran untuk program vaksinasi ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, terdapat maklumat menyatakan pakej vaksin diberikan itu dengan harga RM380 bagi dua dos dengan bayaran 50 peratus sebagai pendahuluan dan baki bayaran perlu dibayar sebelum penerimaan vaksin.

Katanya, kenyataan itu tidak berasas kerana sehingga kini tidak diketahui nilai kos vaksin.

"Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah untuk mencapai matlamat imuniti berkelompok sekurang-kurangnya 80 peratus.

"Bagaimanapun, kita ada menerima permintaan daripada pengusaha kilang yang berhasrat untuk membeli vaksin bagi pekerja mereka.

"Pada masa ini memang diakui kita masih kekurangan bekalan vaksin jenis Pfizer, Sinovac mahupun Astrazeneca dan proses pemberian vaksin mengambil sedikit masa," katanya.

Beliau berkata, populasi penduduk di Negeri Sembilan berjumlah hampir satu juta dan ia tidak termasuk pekerja asing.

Menurutnya, sehingga kini pendaftaran untuk penerimaan vaksin mencecah 486,200 orang manakala sehingga 2 Jun lalu, seramai 79,872 menerima suntikan vaksin dos pertama.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 56,202 orang atau kira-kira 10.2 peratus yang sudah menerima suntikan dos kedua.

"Perkembangan ini sangat membimbangkan kerana pemberian vaksin yang lembab atas sebab kekurangan bekalan vaksin.

"Tambahan pula, ada PPV berkapasiti untuk memberikan vaksin sehingga 500 orang sehari, tetapi malangnya hanya dapat berikan kepada 300 orang sehari kerana masalah bekalan vaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 11:52 AM