Aizat Sharif

Kangar: Suri rumah menjadi individu pertama di negara ini didenda mengikut Ordinan Darurat selepas mengaku bersalah menyebarkan berita palsu mengenai penularan Covid-19.

Norjannah Rusli, 28, didenda sebanyak RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas dia mengaku bersalah menyebarkan berita palsu menerusi aplikasi telefon pintar di Arau pada April lalu.

Dia membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Mengikut kertas pertuduhan, suri rumah berkenaan didakwa menggunakan aplikasi WhatsApp melalui nombor talian yang didaftarkan kepada tertuduh dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 8664, Jalan Pauh, Kampung Belukar, Arau pada 10.31 pagi, 18 April lalu.

Tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021.

Pendakwaan dilakukan oleh Pengarah Pendakwaan Perlis, Mohd Nordin Ismail, manakala tertuduh diwakili Zuhair Ahmad Zakuan dan dibantu Siti hajar Che Ahmad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Ketika prosiding, Mohd Nordin berkata, ia adalah kes pertama seumpamanya di Perlis dan walaupun kesalahan berkenaan adalah kesalahan pertama tertuduh namun perbuatannya memuat naik berita yang tidak sahih mengenai penularan Covid-19 di sebuah sekolah di Arau itu menimbulkan kerisauan dalam kalangan penduduk dan guru di sekolah terbabit.

Berikutan itu, pihaknya memohon satu hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat untuk tidak sewenang-wenangnya berkongsi berita atau memuat naik sesuatu berita yang tidak sahih dan benar.

Norjannah berbincang dengan Zuhair di pekarangan Mahkamah Sesyen Kangar hari ini. Foto Aizat Sharif
Norjannah berbincang dengan Zuhair di pekarangan Mahkamah Sesyen Kangar hari ini. Foto Aizat Sharif

Zuhair yang mewakili tertuduh pula meminta mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap tertuduh disebabkan sedang mengandung.

Selain itu, tertuduh juga mempunyai dua anak berusia empat dan lima tahun serta suami yang baru kehilangan kerja sebagai pemandu lori disebabkan penularan Covid-19.

Zuhair berkata, tindakan tertuduh yang berkongsi berita berkenaan itu hanyalah kerana gesaan kepada masyarakat supaya berhati-hati serta kegusarannya terhadap penularan jangkitan Covid-19 yang semakin naik di negeri itu.

Selain mengenakan denda RM5,000 terhadap tertuduh, Hakim Musyiri turut memerintahkan suri rumah itu juga boleh dipenjara selama lima bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, tertuduh dilaporkan membayar denda terbabit.

Pada 20 April lalu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis membuat laporan polis berhubung penularan berita di media sosial yang mendakwa sembilan murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka disahkan positif Covid-19.

Laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar dan selepas siasatan dilakukan hanya seorang sahaja yang disahkan positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 1:06 PM