Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Pemeriksaan di pejabat kerajaan dan swasta dilakukan dengan lebih giat bagi memastikan majikan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) bermula hari ini.

Ia secara tidak langsung bagi memastikan kehadiran pekerja mengikut jumlah yang dibenarkan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan kerajaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, majikan perlu memastikan jumlah kehadiran adalah 60 peratus bagi sektor swasta, manakala 20 peratus bagi sektor awam.

"Menerusi operasi baru-baru ini, kita mengeluarkan kompaun RM10,000 terhadap sebuah syarikat swasta yang didapati mempunyai kehadiran kakitangan sehingga 100 peratus.

"Justeru, orang awam yang mempunyai maklumat digesa membuat laporan kepada polis dan kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang melanggar arahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke Jambatan Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Dalam tinjauan selama satu jam itu, sebanyak lima kenderaan diarah berpatah balik kerana tidak mempunyai dokumen lengkap pada hari pertama SPP.

Soffian berkata, terdapat pengguna jalan raya yang diberi kelonggaran bagi mendapatkan dokumen berkenaan daripada majikan selewat-lewatnya hari ini.

"Kita lihat juga kepentingan urusan mereka sehingga mahu melepasi SJR atau terbabit dalam sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu.

"Kita akan menambah masing-masing dua SJR secara 'mobile' pada waktu siang dan malam selain menambah pasukan bagi melakukan pemeriksaan pematuhan," katanya.

 Soffian Santong (kanan) ketika melakukan pemeriksaan dokumen orang awam yang melalui sekatan jalan raya di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Soffian Santong (kanan) ketika melakukan pemeriksaan dokumen orang awam yang melalui sekatan jalan raya di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 5:21 PM