Petugas kesihatan melakukan ujian saringan COVID-19 percuma terhadap orang ramai yang dianjurkan kerajaan negeri Selangor di Dewan Majlis Perbandaran Klang Taman Klang Jaya, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Petugas kesihatan melakukan ujian saringan COVID-19 percuma terhadap orang ramai yang dianjurkan kerajaan negeri Selangor di Dewan Majlis Perbandaran Klang Taman Klang Jaya, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti sejumlah 119 kes Covid-19 yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 dikategorikan sebagai Variant of Concern (VOC) dan Variant of Interest (VOI).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 14 kes adalah jangkitan import dari luar negara, manakala 105 kes lagi adalah jangkitan dalam negara.

Katanya, daripada jumlah 119 kes dikesan itu, 104 kes adalah VOC dan 15 kes adalah VOI.

"VOC yang dilaporkan adalah seperti berikut, iaitu 89 kes varian B.1.351 iaitu kesemua kes jangkitan dalam negara, sembilan kes adalah varian B.1.1.7 dengan lima kes jangkitan import dan empat kes jangkitan dalam negara dan enam kes varian B.1.617 semuanya jangkitan import.

"VOI yang dilaporkan pula adalah 12 kes adalah varian P.3 iaitu semua kes jangkitan dalam negara dan tiga kes adalah varian B.1.525 semua kes jangkitan import," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, besar kemungkinan sudah pun berlaku penularan lebih meluas dalam komuniti bagi sekurang-kurangnya satu jenis VOC di semua negeri di Malaysia.

Katanya, KKM akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk meneruskan survelan genomik, memperbanyakkan ujian saringan Covid-19, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes serta langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian ini di dalam komuniti.

Sementara itu beliau berkata, terdapat 25 kluster baharu hari ini iaitu 14 kluster tempat kerja, sembilan kluster komuniti serta masing masing satu bagi kluster pendidikan dan kumpulan berisiko tinggi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 7:40 PM