GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kerajaan melaksanakan lima lagi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) masing-masing satu di Sarawak, Pahang, Perak dan dua di Sabah berkuat kuasa 2 Jun hingga 15 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi semasa kes Covid-19 di 11 rumah panjang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Stalon di daerah Tanjung Manis, Sarawak.

"KKM juga mengesahkan terdapat peningkatan kes Covid-19 yang mendadak dalam masa satu minggu di lokaliti ini di mana 21 kes positif direkodkan dari 97 ujian saringan yang dijalankan dengan kadar positif 21.6 peratus.

"Selain itu, KKM juga mengesahkan terdapat peningkatan kes positif yang ketara di Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang dalam tempoh seminggu di mana sebanyak 10 kes positif direkodkan dari 76 ujian saringan yang dijalankan dengan kadar positif 13.2 peratus.

"Selepas penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Pagi, Ulu Tembeling bagi memastikan semua penduduk di lokaliti ini yang berisiko dijangkiti Covid-19 kekal berada dalam kawasan ini bagi tujuan pengesanan awal kes positif," katanya dalam kenyataan harian hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga melaksanakan PKPD di Felda Trolak Utara, mukim Sungai, Batang Padang di Perak selepas KKM menjalankan 123 ujian saringan dan 16 daripadanya positif manakala 46 sampel saringan masih menunggu keputusan.

"Kita juga bersetuju melaksanakan PKPD Kampung Kuala Menggatal, Kota Kinabalu dan Jalan Klias 2 dan Jalan Klias 3, Kampung Klias Baru, Beaufort, Sabah selepas berlaku peningkatan kes positif Covid-19," katanya.

Menurutnya, KKM melaksanakan 102 ujian saringan di Kampung Kuala Menggatal dan daripada jumlah itu, 10 kes positif direkodkan.

"Begitu juga situasi di Jalan Klias 2 dan Jalan Klias 3, Kampung Klias Baru apabila sehingga kini, 20 kes positif Covid-19 dikesan daripada 280 ujian saringan ke atas penduduk di lokaliti ini," katanya.

Katanya, selain itu, kerajaan juga bersetuju melanjutkan PKPD di 28 mukim di Kota Setar, Kedah yang dijadualkan tamat pada esok sehingga 15 Jun ini.

"Sepanjang tempoh itu, KKM melakukan 5,631 ujian saringan dan 1,367 daripadanya disahkan positif Covid-19.

"Sehingga kini, KKM mengesahkan masih terdapat penularan berterusan dalam kalangan penduduk di dalam kawasan PKPD serta masih terdapat jangkitan baharu yang direkodkan," katanya.

Ismail Sabri berkata, PKPD di dua lokaliti di Kelantan iaitu Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu, Kota Bharu dan Kampung Pauh Lima, Mukim Gunong, Bachok ditamatkan lebih awal iaitu hari ini.

"Dalam tempoh itu, KKM melakukan 739 ujian di Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu di mana 131 kes positif direkodkan manakala 616 ujian saringan di Kampung Pauh Lima, Mukim Gunong, Bachok yang merekodkan 47 kes positif Covid-19.

"Sehingga kini, KKM mengesahkan tiada lagi sampel menunggu keputusan dan tiada kes baru direkodkan di kedua-dua lokaliti ini sejak 29 Mei lalu," katanya.

Sementara itu, seramai 754 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP), semalam.

"Daripada jumlah itu, seramai 746 individu dikompaun manakala lapan lagi direman membabitkan pelbagai kesalahan antaranya tidak memakai pelitup muka (168), tiada penjarakan fizikal (145), gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (109), bawa penumpang berlebihan (74) dan lain-lain kesalahan (258)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 6:33 PM