GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Tawaran menjadi ejen menjual barang kemas serendah RM50 menjerat seorang suri rumah sehingga kerugian RM61,912.50 apabila ditipu dalam urusan perniagaan terbabit melalui aplikasi WhatsApp.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka Superintendan E Sundra Rajan berkata, pada Februari lalu, mangsa berusia 36 tahun beralamat di Merlimau, di sini, berminat menjadi ejen perniagaan barangan kemas itu selepas berurusan dengan seorang wanita dipercayai warga Indonesia melalui WhatsApp.

Katanya, mangsa dimaklumkan untuk menjadi ejen menjual barang kemas itu, dia perlu membuat bayaran keahlian sebanyak RM50 sebelum membuat tempahan barangan pelbagai barangan kemas dan dijanjikan semua tempahan bakal diterima dalam tempoh 10 hingga 15 hari.

"Selepas mangsa yang bersetuju dengan syarat (keahlian) terbabit, dia membuat bayaran lagi sebanyak RM61,912.50 ke dalam akaun yang diberikan suspek pada 21 Februari sehingga 6 April lalu untuk tempahan barang kemas.

"Barangan yang ditempah termasuk cincin, gelang kaki, subang, loket, charm, pandora, rantai leher, gelang tangan dan safety chain, namun sehingga kini masih belum menerima barangan ditempah seperti dijanjikan suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sundra berkata, apabila mangsa menyedari dirinya terpedaya, dia membuat laporan polis di Balai Polis Merlimau kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan tawaran penjualan barangan kemas secara dalam talian.

Katanya, orang ramai boleh membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun yang diragui dalam laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi check scammers ccid di playstore supaya dapat mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 5:52 PM