Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Ketegasan Allahyarham Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria dalam mengulas isu berkaitan agama bukan lagi rahsia, namun dalam tegas terselit sifat suka 'berjenaka' dalam diri agamawan disegani itu.

Anaknya, Datuk Ahmad Wafi menceritakan keperibadian bapanya itu yang meskipun tampak garang dan tegas dalam kalangan orang di sekelilingnya.

"Abah memang tegas..tetapi dia suka melawak dan bercerita pengalaman yang dialaminya sendiri masa muda-muda dahulu ketika pulang dari berceramah di merata-rata tempat.

"Zaman dahulu tiada lebuh raya, banyak jalan lama kampung dan penuh hutan, jadi kalau nak diikutkan memang banyaklah 'cerita-cerita' yang sering dikongsikan oleh abah kepada kami anak-anak," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman keluarganya di Kampung Melayu Sungai Rapat di sini hari ini.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, sejak kecil dia sering mengikuti bapanya berceramah dan arwah akan menyelitkan unsur bergurau senda dalam setiap teguran yang cuba disampaikan.

"Kadang-kadang apabila ada masalah kami akan bercerita dengan abah isu hukum juga akidah. Abah kemudian berkongsi penceritaan dengan kami secara 'informal' dan juga secara 'formal' dalam ceramah.

"Abah memang ramai anak angkat dan dia suka bercerita dengan anak angkat tentang pengalamannya," katanya.

Beliau berkata, selain itu arwah yang rapat dengan anak dan cucu serta begitu mementingkan kekuatan ukhwah dalam keluarga.

"Abah seorang yang tegas tetapi dia lembut dengan anak-anak dan sentiasa mengingatkan kami tentang kepentingan ukhwah keluarga dalam membina kekuatan Islam untuk bawa kepada masyarakat," katanya sambil memberitahu arwah mempunyai lima anak dengan seorang sudah meninggal dunia serta mempunyai 20 cucu dan tiga cicit.

Terdahulu, Allahyarham Harrusani selamat di tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat Jaya di sini pada 6.20 petang semalam.

Menceritakan kembali detik pemergian arwah, beliau berkata, bapa dan ibunya, Puan Seri Ainon Ghazali yang disahkan positif Covid-19 dibawa masuk ke wad Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada malam 11 Mei lalu.

Selain ibu dan bapa, katanya, seramai 10 individu terdiri daripada anak, menantu, cucu dan jururawat yang merawat arwah turut disahkan positif Covid-19.

"Sejak strok dia (Harrusani) tidak bercakap banyak, selepas positif Covid-19 ia menjangkiti paru-paru, buah pinggang dan jantung. Jadi selepas dimasukkan ke ICU rawatan diberi tumpuan kepada ketiga-tiga penyakit itu.

"Memang selama seminggu ini apabila berita keluar (di media), keadaan abah sudah tidak terlalu baik dan tidak juga terlalu buruk. Jadi pihak hospital cuba memberikan rawatan terbaik untuk stabilkan keadaan abah.

"Dalam tempoh itu, kami semua memang sudah bersedia dan saya juga beritahu pada mak untuk doakan yang terbaik..sesungguhnya sama ada Allah hendak sembuhkan atau jika sudah ketentuan-Nya kami reda. Kami hanya memohon kepada Allah agar dipermudahkan urusan," katanya sambil memaklumkan hanya kakaknya yang bekerja sebagai doktor dapat melihat keadaan bapanya itu sekali sekala.

Katanya, keadaan kesihatan Harrusani mula merosot pada 1.30 tengah hari semalam sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir pada 2.45 petang.

ANAK kepada Allahyarham Mufti Perak, Datuk Ahmad Wafi Harussani ditembual pemberita di kediaman keluarganya di Kampung Melayu Sungai Rapat. FOTO Balqis Jazimah Zahari
ANAK kepada Allahyarham Mufti Perak, Datuk Ahmad Wafi Harussani ditembual pemberita di kediaman keluarganya di Kampung Melayu Sungai Rapat. FOTO Balqis Jazimah Zahari

"Selepas 21 hari kita minta swab test sekali lagi dan mengharapkan negatif tetapi apabila keputusan keluar masih positif, jadi kami terima saranan pihak KKM dan hospital untuk pengkebumian abah diuruskan secara SOP Covid-19.

"Allah mudahkan urusan, pengkebumian dapat selesaikan sebelum maghrib dan walaupun cuaca kelihatan gelap hendak hujan tetapi dalam proses pengebumian hujan belum turun dan hujan turun selepas selesai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 5:23 PM