Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran
Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Semua program di Universiti Putra Malaysia (UPM) sudah mendapat akreditasi menerusi senatnya sendiri kerana universiti berteraskan pertanian itu mempunyai status swaakreditasi diberikan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata universiti dengan status swaakreditasi sudah diluluskan untuk melakukan proses akreditasi sendiri.

Katanya, bagi memastikan jaminan kualiti program ditawarkan mengikut standard maksimum, MQA membuat audit secara berkala di universiti yang dianugerahi status swaakreditasi.

"Sehingga kini, MQA tidak menghadapi masalah dengan universiti berstatus swaakreditasi ini termasuk termasuklah UPM kerana semua program ditawarkan sudah mengikut piawaian ditetapkan.

"Apabila sudah memastikan program ditawarkan berada pada tahap terbaik, universiti berkenaan perlu menghantar program terbabit ke MQA untuk didaftarkan dalam Daftar Kelayakan Malaysia (MQR)," katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan mengatakan program yang ditawarkan UPM tidak mendapat pengiktirafan di luar negara yang dibuat seorang daripada graduannya sendiri, baru-baru ini.

Mohammad Shatar menjelaskan, di negara ini terdapat 20 universiti awam (UA) dan ratusan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), namun hanya beberapa yang mendapat status swaakreditasi daripada MQA.

Katanya, lima universiti penyelidikan negara mempunyai status itu termasuk UPM dan beberapa lagi universiti swasta tempatan.

"Dengan status swaakreditasi, IPT berkenaan boleh menawarkan program yang dirasakan bersesuaian dan mendapat permintaan tinggi selepas melalui proses akreditasi serta dipersetujui senat universiti," katanya.

Dalam kes UPM, Mohammad Shatar berkata, semua program yang ditawarkan universiti itu sudah mendapat akreditasi menerusi Senat UPM sendiri.

"Rekod di MQR hanya untuk tujuan pendaftaran supaya boleh disemak oleh pihak luar dan mudah dijadikan rujukan sama ada sesebuah program itu sudah mendapat akreditasi atau sebaliknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 2:07 PM