Khairy Jamaluddin.
Khairy Jamaluddin.
Muhammad Yusri Muzamir dan Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Kerajaan menafikan dakwaan berlaku pengasingan pemberian vaksin mengikut kaum dan agama dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ia susulan kekeliruan tercetus ketika pemberian vaksin, membabitkan masyarakat Islam dan bukan Islam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Desa Tasik, di sini, Isnin lalu.

Ketika kejadian, ada pihak mendakwa pemberian vaksin Comirnaty keluaran PfizerBioNTech hanya diberikan kepada individu Islam, manakala bukan Islam menerima Sinovac.

Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin, berkata penerima sebaliknya hanya diasingkan mengikut jenis vaksin mengikut ruang suntikan bagi memastikan tiada kesilapan ketika suntikan dilakukan.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menafikan sekeras-kerasnya tuduhan disifatkan tidak benar dan sangat tidak bertanggungjawab itu.

"Seramai 943 individu diberi suntikan vaksin, iaitu 252 dos Comirnaty dan 691 lagi Sinovac di PPV Kompleks Sukan Desa Tasik, Isnin lalu.

"Daripada jumlah ini, 169 Islam dan 83 bukan Islam adalah penerima vaksin Comirnaty, manakala 142 Islam dan 549 bukan Islam menerima Sinovac.

"Bagaimanapun, isu timbul sebab seramai 42 daripada jumlah itu yang terdiri daripada bakal jemaah dan petugas haji, dijadualkan menerima vaksin di PPV terbabit.

"Selaras keputusan Kerajaan Arab Saudi setakat ini, yang kita tahu hanya mengiktiraf Comirnaty dan AstraZeneca, maka 42 orang terbabit diberikan vaksin Comirnaty pada tarikh berkenaan," katanya pada sidang media, hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Arab Saudi dilapor menetapkan prasyarat wajib bagi ibadah haji, iaitu pengambilan vaksin Covid-19 sama ada Comirnaty, Astrazeneca, Johnson&Johnson atau Moderna sahaja.

Khairy berkata, pihaknya kini sedang giat mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Arab Saudi berhubung status penerima vaksin Sinovac dan lain bagi tujuan berkenaan.

"Kerajaan giat mengadakan perbincangan bersama negara lain dan badan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mengiktiraf setiap jenis vaksin digunakan di Malaysia ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 9:08 PM