DATIN Paduka Eina Azman dan suaminya Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah. FOTO IG
DATIN Paduka Eina Azman dan suaminya Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah. FOTO IG
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Selebriti Datin Paduka Eina Azman dan suaminya, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah disahkan menerima vaksin Covid-19 di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, atas rujukan doktor pakar yang merawat mereka.

Pengarah HRPB, Dr Abdul Malek Osman berkata, pihaknya juga menafikan dakwaan pasangan itu memotong barisan penerima vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) seperti tular di media sosial.

"Semakan kelayakan ke atas pasangan itu mendapati mereka (layak) berdasarkan kepada rujukan oleh doktor pakar yang merawat atas masalah kesihatan dan komorbid yang dihadapi.

"Jadi, tiada isu 'potong barisan' dalam pemberian suntikan vaksin ini dan pasangan berkenaan dimasukkan ke dalam senarai penerima atas nasihat doktor pakar yang merawat kerana pesakit dikategorikan sebagai golongan yang berisiko tinggi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, pasangan berkenaan menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) HRPB pada 25 Mei lalu.

Dr Abdul Malek turut menjelaskan, PPV HRPB menerima rujukan pesakit atau pelanggan daripada pelbagai fasiliti kesihatan dari dalam mahupun luar Perak.

"Semua pesakit atau pelanggan yang dirujuk sudah menjalani pemeriksaan awal iaitu Pre Vaccination Assesment (PVA) yang boleh dilakukan di Klinik Pakar Perubatan Hospital, manakala PPV HRPB hanya memberi suntikan vaksin kepada mereka dan tidak melakukan PVA berkenaan," katanya.

Beliau berkata, suntikan vaksin di bawah PICK fasa kedua memberi keutamaan kepada golongan berusia 60 tahun ke atas dan individu yang mempunyai komorbiditi serta golongan berisiko tinggi.

Untuk pengetahuan, komorbid adalah istilah perubatan yang merujuk kepada individu yang menghidap dua atau lebih penyakit yang tidak berkaitan secara serentak serta berisiko tinggi mendapat banyak komplikasi jika dijangkiti Covid-19.

Berita berkaitan:

  • 'Eina Azman semalam 'register' pakai laman web mana ya?'
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 2:03 PM