GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Bagan Serai Perak, Felda Redong 1, Mukim Labis, Segamat, Johor dan Rumah Panjang Isa Anak Blone, Rumah Panjang Ben Anak Kuleng dan Sekolah Kebangsaan Telok Gelam, Sarawak berkuatkuasa 27 Mei sehingga 9 Jun 2021.

Bagi Mukim Bagan Serai, ia susulan terdapat sebanyak 53 kes positif Covid-19 direkodkan di lokaliti itu hasil daripada 144 ujian saringan dijalankan Kementerian Kesihatan Makaysia (KKM).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata KKM juga mendapati kes semasa bertaburan dalam mukim dan tidak tertumpu dalam satu lokaliti atau kawasan dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

"Pada masa sama, kadar insiden meningkat daripada 42.5 pada Minggu EPID 20 kepada 62.6 pada Minggu EPID 21," katanya.

Menurutnya, bagi Felda Redong 1, KKM mendapati kes menular ke seluruh lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan masih tinggi.

Katanya, bagi PKPD di Rumah Panjang Isa Anak Blone, Rumah Panjang Ben Anak Kuleng dan Sekolah Kebangsaan Telok Gelam, KKM melaporkan terdapat peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dalam masa seminggu apabila sebanyak 12 kes positif direkodkan hasil saringan ke atas 153 orang di tiga lokaliti terbabit.

"SOP bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini. Maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my," katanya dalam kenyataan hari ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 7:35 PM