GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Sabah semalam mencatatkan dua kluster baharu masing-masing berpunca dari warga emas yang terbabit dalam aktiviti keramaian iaitu sambutan perayaan Aidilfitri dan menghadiri majlis pengebumian.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, dua kluster terbabit adalah Kluster Taman Deluxe di Penampang dan Kluster Kampung Padawan di Papar.

"Kluster Taman Deluxe membabitkan jangkitan dalam komuniti di mana kes indeks adalah suri rumah berusia 68 tahun dari Kampung Bubul Batu 2 Semporna yang merentas daerah untuk meraikan Aidilfitri bersama anaknya di Taman Deluxe, Penampang pada 15 Mei lepas sebelum dikesan positif Covid-19 pada 19 Mei hasil saringan bergejala.

"Setakat 12 tengah hari 24 Mei lalu, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 bagi kluster ini ialah 12 orang daripada 14 orang yang disaring.

"Berdasarkan siasatan awal, berkemungkinan besar jangkitan merebak semasa sambutan hari raya di Kampung Batu 2 Semporna pada 13 hingga 15 Mei lepas. Aktiviti siasatan masih diteruskan di lapangan untuk menyiasat punca jangkitan," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Mengulas lebih lanjut mengenai Kluster Kampung Padawan yang berpunca daripada majlis pengebumian, Masidi berkata, ia mula dikesan pada 22 Mei lepas di Klinik Kesihatan Inanam, hasil saringan bergejala.

"Kes indeks ialah wanita berusia 50 tahun dari Kampung Dambai Inanam bersama tiga orang anaknya disahkan positif COVID-19.

"Susulan kes terbabit, enam orang ahli keluarga kepada kes indeks dikesan positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 10 kes.

"Khuatir dengan risiko tersebut, 36 saringan dilakukan di klinik swasta sebagai inisiatif oleh kontak serta ahli keluarga kepada kes indeks.

"Pejabat Kesihatan Daerah Papar juga menjalankan 113 ujian saringan ke atas kontak rapat lain yang menghadiri satu majlid. Berdasarkan maklumat dan penelitian awal, jangkitan Covid-19 dipercayai menular semasa majlis pengebumian di Kampung Padawan pada 17 Mei lepas.

"Majlis terbabit juga dihadiri keluarga terdekat dari beberapa daerah dengan kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tiga hari, termasuk aktiviti makan bersama serta berkumpul beramai-ramai pada sebelah malam," katanya.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata jumlah kes harian Covid-19 semalam kekal mencatatkan sebanyak tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 semalam adalah sebanyak 184 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 60,562 kes dan tiada kes kematian direkodkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 8:11 AM