SUSPEK yang ditahan selepas berpatah balik ke tempat dia melarikan sebuah kereta. FOTO ihsan pembaca
SUSPEK yang ditahan selepas berpatah balik ke tempat dia melarikan sebuah kereta. FOTO ihsan pembaca
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Lelaki yang melarikan sebuah kereta bersama kanak-kanak perempuan ketika ibunya keluar membeli barang di kedai haiwan di Seri Manjung, di sini, Khamis lalu, mendakwa mahu menziarah kubur ibunya di Bota.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, suspek berusia 24 tahun itu mendakwa menaiki motosikal jiran, namun meninggalkan kenderaan itu kerana kehabisan minyak berhampiran sebuah pasar raya.

Menurutnya, suspek kemudiannya berjalan sehingga terjumpa kereta mangsa yang dalam keadaan enjin dihidupkan dan membawa lari kenderaan itu ke Bota.

"Bagaimanapun, suspek kemudiannya menyedari terdapat seorang kanak-kanak perempuan di dalam kereta.

"Kanak-kanak itu memberontak supaya suspek menghantarnya semula ke tempat asal dan lelaki itu kemudiannya berpatah balik ke lokasi dia melarikan kereta berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Omar berkata, setibanya di lokasi itu, orang awam menahan suspek dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Hasil siasatan lanjut ke atas suspek mendapati tiada motif sebenar atas perbuatannya itu dan ketika kejadian, dia berada di bawah pengaruh dadah.

"Reman suspek yang tamat hari ini disambung hingga Rabu ini dan kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk arahan lanjut," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, lelaki melarikan Perodua Bezza bersama kanak-kanak berusia 12 tahun pada 11.30 pagi, Khamis lalu sebelum cuba dihalang ibu kanak-kanak itu, namun gagal.

Berita berkaitan

Lelaki larikan kereta, budak direman 4 hari

Kereta, kanak-kanak dilarikan penagih dadah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 1:29 PM