NUR Sajat. FOTO arkib NSTP
NUR Sajat. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Polis Johor menafikan dakwaan bahawa Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat yang diburu pihak berkuasa berada di bandaraya ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Md Yusof Ahmad berkata, pemeriksaan sudah dilakukan di lokasi usahawan kosmetik itu didakwa berada iaitu premis perniagaannya di Pusat Komersial Bandar Baru Uda (BBU) selain kondominium mewah di Danga Bay, semalam.

"Namun tiada langsung kelibat Muhammad Sajjad di dua lokasi berkenaan.

"Saya harap netizen jangan layan sangat isu sebegini. Polis banyak lagi kerja lain, lebih-lebih lagi sekarang ini isu Covid-19 lebih penting.

"Kalau nampak depan mata barulah maklumkan polis. Jika tidak, netizen tak perlu mereka-reka cerita yang membuang masa dan polis," katanya ketika dihubungi.

Semalam, Nur Sajat, 36, yang diburu pihak berkuasa didakwa berada di Johor Bahru.

Dakwaan itu tular di beberapa kumpulan Facebook negeri ini sejak kelmarin.

Ia selepas Nur Sajat memuat naik lokasi kononnya sedang berada di premis perniagaannya di Pusat Komersial BBU di akaun Instagram miliknya semalam.

Seorang netizen kemudian mendakwa Nur Sajat sememangnya berada di Johor Bahru dan menetap bersama beberapa pekerjanya di sebuah kondominium mewah di bandaraya ini.

Ia hasil pemerhatian netizen berkenaan terhadap latar belakang video yang dimuat naik di akaun TikTok Nur Sajat, yang menyamai reka bentuk dan susun atur sebuah kondominium mewah terkenal di sini.

Berita berkaitan

Nur Sajat di JB?

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 1:17 PM