KAKITANGAN Perhilitan Terengganu memasang perangkap buaya di lombong tinggal di Kampung Tepoh. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
KAKITANGAN Perhilitan Terengganu memasang perangkap buaya di lombong tinggal di Kampung Tepoh. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Nerus: Orang ramai yang memasuki kawasan lombong di Kampung Tepoh, di sini, untuk melihat seekor buaya tembaga berusia kira-kira enam tahun digelar 'Adik Mat' boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Sehubungan itu, Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu bersama polis memperketatkan kawalan serta meletakkan papan tanda amaran kepada orang ramai.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusuf berkata, pihaknya sudah memasang perangkap di tempat yang kerap pengunjung memberi makan kepada buaya itu.

"Papan tanda larangan masuk juga sudah pasang di kawasan berkenaan sejak semalam bagi memastikan orang ramai tidak menceroboh dan mengganggu perangkap buaya.

"Sebarang gangguan ke atas perangkap itu, pihak kami akan mengambil tindakan mengikut undang-undang.

"Oleh itu jangan sesekali masuk ke kawasan berkenaan tanpa tujuan yang munasabah sekali gus mengganggu usaha Perhilitan untuk menangkap buaya itu," katanya.

Beliau berkata, polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) juga sentiasa membuat pemantauan di kawasan lombong tinggal itu sejak video terbaru Adik Mat tular di media sosial.

"Buaya sebesar itu bukan perkara yang boleh dipandang ringan, ia sangat berisiko dan boleh mengancam keselamatan awam.

"Kita tidak boleh menjangka sejauh mana ia boleh bertenang dan sentiasa berada dalam keadaan jinak.

"Sekiranya ia lapar dan berasa terancam, ada kebarangkalian besar ia boleh menjadi agresif dan menyerang orang awam," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, orang ramai merayu pihak bertanggungjawab menangkap buaya tembaga di lombong tinggal di Kampung Tepoh, di sini.

Buaya tembaga yang dipanggil dengan gelaran Adik Mat itu dibimbangi boleh membahayakan keselamatan orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 11:08 AM