Dua suspek bersama minuman keras yang ditahan anggota PPM Labuan dalam operasi di periaran Tanjung Aru, Labuan. FOTO IHSAN PPM
Dua suspek bersama minuman keras yang ditahan anggota PPM Labuan dalam operasi di periaran Tanjung Aru, Labuan. FOTO IHSAN PPM
Juwan Riduan


Labuan: Cubaan dua lelaki menyeludup masuk minuman keras gagal apabila bot dinaiki mereka karam selepas bergesel dengan bot Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Tanjung Aru, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 10 malam itu, PPM Labuan yang menjalankan operasi di perairan berkenaan lalu terserempak dengan dua bot dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Labuan, Asisten Superintendan Saidul Maruf Rosli berkata, dua bot berkenaan yang dilihat bergerak ke tanah besar Sabah kemudian diarahkan berhenti namun tidak diendahkan.

Katanya, bot penyeludup itu terus memecut laju, membuatkan anggota PPM bertindak mengejar kedua-dua bot berkenaan.

"Salah satu bot berkenaan berjaya ditahan selepas karam akibat bergesel dengan bot PPM manakala sebuah bot dapat meloloskan diri.

"Juragan dan seorang awak-awak bot yang karam diselamatkan dan ditahan untuk siasatan lanjut," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan sejumlah plastik hitam ditemui terapung di laut dipercayai minuman keras.

"Pemeriksaan lanjut mendapati juragan bot dan awak-awak masing-masing berusia 47 tahun membawa dan dalam miliknya sejumlah bungkusan plastik hitam mengandungi dua jenama minuman keras tidak bercukai.

"Nilai rampasan minuman keras termasuk cukai itu dianggarkan berjumlah RM9,100. Kedua-dua suspek ditahan dan minuman keras dirampas kerana melakukan kesalahan mengikut 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Sementara itu, Saidul menegaskan operasi seperti itu akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan menguatkuasakan undang-undang maritim di sekitar perairan Labuan dan Tanah Besar Sabah supaya dapat mengekalkan ketenteraman awam.

"PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0132831197," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 4:55 PM