Permaisuri Johor ketika mengadakan mesyuarat khas secara maya bersama penuntut dan kakitangan UTM Skudai di Johor Bahru semalam. Foto Ihsan RPO
Permaisuri Johor ketika mengadakan mesyuarat khas secara maya bersama penuntut dan kakitangan UTM Skudai di Johor Bahru semalam. Foto Ihsan RPO
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Demi mengurangkan tekanan serta mewujudkan suasana lebih ceria, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah mencadangkan beberapa pertandingan persahabatan bagi warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Baginda yang juga canselor UTM bertitah, ia sebagai usaha mengurangkan tekanan penghuni di kampus Skudai itu yang menjalani tempoh kuarantin serta memulakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu sehingga 3 Jun ini.

"Saya memahami penuntut dan kakitangan sangat tertekan. Selain bantuan barangan keperluan yang lazim untuk mereka, saya berasa beberapa aktiviti pertandingan persahabatan akan dapat membawa sedikit keceriaan kepada mereka di kampus.

"Antara aktiviti yang dicadangkan termasuk pertandingan seni lukis, penulisan puisi serta penghasilan video ringkas yang akan dianjurkan UTM bersama yayasan saya (Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor) dalam masa terdekat," titahnya kepada Royal Press Office (RPO) menerusi Facebook (FB) semalam.

Baginda bertitah demikian selepas menghadiri mesyuarat khas secara maya di Istana Bukit Serene di sini, bersama penuntut dan kakitangan UTM Skudai bagi mendapatkan maklum balas berkenaan kebajikan penghuni di kampus itu.

Baginda bertitah, semua pihak diingatkan supaya terus berjaga-jaga dan berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

"Dengan peningkatan kes yang mendadak serta kemunculan varian virus ini yang lebih serius harus ditekankan kepada semua pihak untuk bersama bertanggungjawab memainkan peranan dalam memutuskan rangkaian jangkitan.

"Tiada guna kita menyalahkan sesiapa tetapi alpa dalam pematuhan SOP. Hanya sikap berdisiplin dan berjaga-jaga yang berterusan akan meningkatkan peluang kita menurunkan bilangan pesakit dalam jangka masa panjang," titahnya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 12:23 AM