Foto hiasan
Foto hiasan
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata) menyarankan agar penutupan kesemua pintu masuk negara terutama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dilakukan segera.

Presiden Mata Datuk Mohd Khalid Harun berkata, langkah itu adalah bagi membendung kemasukan varian baharu Covid-19 terutamanya dari Afrika, United Kingdom dan India.

Menurutnya, Mata juga mencadangkan agar kerajaan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketat seperti yang dibuat ketika PKP tahun lalu.

"Ini sedikit-sebanyak dapat membantu kerajaan menurunkan kes jangkitan harian yang menunjukkan peningkatan setiap hari.

"Kerajaan juga perlu mempercepatkan program vaksinasi kebangsaan dengan mengadakan banyak lagi pusat vaksinasi di seluruh negara.

"Selain itu, program vaksinasi ini perlu dipanjangkan masanya hingga ke malam.

"Kami menyeru dan memohon pihak kerajaan untuk mengambil tindakan yang serius serta mempertimbangkan cadangan kami bagi membendung penularan wabak penyakit Covid-19 di dalam negara," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, beliau mewakili Mata turut menyokong inisiatif Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) yang memperkenalkan gelembung perjalanan bagi tujuan pelancongan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat antara negeri PKP Bersyarat (PKPB) sebelum mengenakan PKP di seluruh negara baru-baru ini.

Menurutnya, inisiatif itu membantu pemain industri pelancongan terutamanya agensi pelancongan yang berdaftar di bawah Motac, syarikat pengangkutan pelancongan dan hotel kembali bernyawa walaupun hanya dibenarkan membawa pelancong tempatan sahaja.

"Ini sedikit-sebanyak membantu pemain industri pelancongan di dalam negeri PKPB.

"Malangnya dengan membenarkan gelembung perjalanan bagi tujuan pelancongan ini, ada sesetengah pihak tidak mengikuti SOP seperti mana digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Motac.

"Dengan tidak mengikut SOP yang ditetapkan, maka tercetusnya kluster pelancongan baru-baru ini seperti yang dilaporkan di akhbar.

"Ingin, saya nyatakan di sini, kita tidak boleh menuding jari atau mencari salah pihak Motac kerana tercetusnya kluster pelancongan yang membabitkan Kedah sehingga memaksa kerajaan negeri mengenakan PKP Diperketatkan (PKPD).

"Sepatutnya sebagai pemain industri pelancongan iaitu agensi pelancongan, pihak pengangkutan dan hotel, hendaklah patuh kepada kesemua SOP yang telah digariskan.

"Saya yakin sekiranya kesemua SOP dipatuhi dengan ketat sudah tentu kluster pelancongan tidak akan wujud," katanya.

Khalid berkata, setiap SOP yang diadakan adalah untuk menjaga keselamatan dan kepentingan pelancongan serta pemain industri.

"Justeru, saya menyeru ahli Mata untuk patuh segala SOP kerana jika tidak mematuhinya, maka kita akan mengalami kerugian sekiranya gelembung perjalanan bagi tujuan pelancongan ini ditarik-balik.

"Bagi syarikat pengangkutan pelancongan, perlu mengadakan sanitasi berjadual dalam bas dengan mengenakan penjarakan di antara penumpang.

"Pihak hotel pula perlu mengadakan sanitasi berjadual untuk semua bilik penginapan berpenghuni serta mengehadkan masa dan jumlah pelancong," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 9:39 PM