Foto hiasan
Foto hiasan
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Dua daripada tiga kematian akibat Covid-19 di Terengganu hari ini babitkan warga emas termasuk seorang wanita.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kematian pertama membabitkan seorang lelaki berusia 59 tahun dari Kampung Lubuk Kawah, Besut.

Menurutnya, mangsa yang menghidap penyakit kencing manis dibawa untuk menerima rawatan di Hospital Besut (HB) selepas mengalami gejala selama empat hari pada 2 Mei lalu.

"Mangsa dilaporkan mengalami kemerosotan fungsi pernafasan serius dan segera diberikan alat bantuan pernafasan serta dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

"Walaupun rawatan intensif berterusan diberikan selama kira-kira 18 hari, mangsa disahkan meninggal dunia semalam," katanya dalam hantaran Facebook Situasi terkini Pandemik Covid-19, hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, kes kematian kedua membabitkan lelaki berusia 78 tahun dari Kampung Raja, Besut.

Menurutnya, mangsa tanpa sejarah penyakit kronik dikesan positif melalui saringan bersasar dilakukan dalam komuniti di Kampung Alor Lintang pada 13 Mei lalu.

"Mangsa dimasukkan ke Hospital Setiu (HS) untuk rawatan tetapi mengalami sesak nafas serta kemerosotan fungsi pernafasan serius sebelum dirujuk ke HSNZ, Selasa lalu.

"Mangsa yang diberi rawatan di Wad Kecemasan HSNZ termasuk bantuan alat pernafasan meninggal dunia, semalam," katanya.

Dr Nor Azimi berkata, kematian ketiga pula membabitkan seorang wanita warga emas berusia 89 tahun dari Kampung Mengabang Telong, Kuala Nerus.

Menurutnya, mangsa dikatakan pulang ke kediaman daripada pusat penempatan warga tua di Besut pada 11 Mei lalu.

"Mangsa dikesan menjadi kontak rapat kepada kes positif di pusat penempatan itu dan mengalami sesak nafas teruk menyebabkannya tidak sedarkan diri dan meninggal dunia pada Rabu lalu," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Nor Azimi berkata, sebanyak 233 kes baharu aktif Covid-19 dilaporkan di negeri itu menjadikan terdapat 1,350 kes aktif dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,377 kes.

"Sebanyak 1,339 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa, manakala 11 kes sedang menerima rawatan di Wad Kecemasan HSNZ dan enam daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 11:53 PM