Tangkap layar gambar buaya tembaga yang dipanggil adik mat semakin besar dan mendiami lombong tinggal di Kampung Tepoh. FOTO IHSAN PEMBACA
Tangkap layar gambar buaya tembaga yang dipanggil adik mat semakin besar dan mendiami lombong tinggal di Kampung Tepoh. FOTO IHSAN PEMBACA
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Nerus: Orang ramai merayu pihak bertanggungjawab supaya segera menangkap buaya tembaga yang berkeliaran di lombong tinggal di Kampung Tepoh, di sini.

Buaya tembaga yang dianggarkan sepanjang lebih lapan meter itu dan dipanggil dengan gelaran adik mat dibimbangi boleh membahayakan keselamatan orang ramai.

Penduduk menjadi bimbang apabila video berdurasi 20 saat yang tular di media sosial memaparkan buaya jinak itu kini semakin besar malah agak agresif berbanding sebelum ini.

Yusof Mohamad, 49, berkata, dia berharap usaha menangkap buaya tembaga itu diteruskan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri.

"Kami sedia maklum sebelum ini Perhilitan pernah cuba menangkapnya dan memindahkan adik mat ke tempat lain.

"Namun beberapa perangkap yang digunakan gagal memerangkap buaya itu sehingga operasi dihentikan kerana menyangka buaya itu sudah berpindah ke Sungai Terengganu.

"Bagaimanapun sekarang, buaya sama muncul semula di lombong tinggal itu dan kelibatnya sempat dirakam penduduk yang berkunjung ke situ," katanya.

Menurutnya, buaya tembaga itu dipercayai mempunyai penjaga sejak kecil hingga sekarang.

"Adik mat hanya patuh pada arahan penjaganya sahaja kerana individu itu yang memberi makan kepadanya setiap hari.

"Kita tidak boleh menjangka tabiat adik mat kerana ia tidak berakal dan haiwan liar.

"Walaupun ia kelihatan jinak namun tetap tidak boleh dipercayai kerana dibimbangi pada waktu tertentu ia menjadi agresif dan berpotensi menyerang orang awam," katanya.

Yusof berkata, buaya tembaga itu perlu ditangkap segera dan dipindahkan ke kawasan lain yang jauh dari penempatan penduduk.

"Adik mat mungkin hanya berlegar di kawasan lombong tinggal itu sekarang tetapi apabila musim banjir, ia akan menyelinap ke kawasan lain termasuk di penempatan penduduk," katanya.

Ahmad Abdullah, 36, dari Kampung Laut berkata, dia terkejut melihat saiz terbaharu buaya tembaga itu yang semakin besar melalui video yang tular di media sosial.

"Tiga tahun lalu buaya itu hanya bersaiz anak tetapi sekarang adik mat sudah menjadi dewasa dan sangat menakutkan.

"Bahaya jika dibiarkan ia terus kekal mendiami lombong tinggal itu dan saiznya bertambah besar.

"Mungkin hari ini masih ada penduduk yang memberi makan kepadanya tetapi pada masa akan datang sekiranya ia tidak lagi diberi makan, adik mat boleh menjadi pemangsa yang agresif," katanya.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, pihaknya menasihati orang ramai supaya tidak menghampiri lombong tinggal berkenaan.

"Kami dimaklumkan Perhilitan akan menjalankan siasatan segera mengenai kewujudan dan dakwaan kononnya buaya tembaga itu dibela penduduk.

"Buaya itu tetap reptilia pemangsa dan ia boleh mengancam keselamatan orang awam terutama pengunjung yang berkunjung ke kawasan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 7:03 PM