ADI (berdiri) dan bapa saudaranya, Nizam (duduk) sering ditemani Minah serta Senah ketika melakukan kerja gali kubur di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang. FOTO Ihsan Mohamad Rashidi Maajis
ADI (berdiri) dan bapa saudaranya, Nizam (duduk) sering ditemani Minah serta Senah ketika melakukan kerja gali kubur di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang. FOTO Ihsan Mohamad Rashidi Maajis
Redzuan Muharam

Kajang: "Sudah hampir dua tahun kucing itu berada di sini tanpa berganjak ibarat penghuni tetap tanah perkuburan ini," kata penggali kubur, Mohamad Rashidi Maajis, 29.

Dia menceritakan perihal dua kucing diberi nama Minah dan Senah yang menjadi 'penunggu setia' di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, di sini.

Mohamad Rashidi atau mesra disapa Adi berkata, Minah dan Senah asalnya bukan kucing terbiar tetapi kepunyaan seorang guru wanita.

Menurut Adi, guru itu pernah membawa Minah dan Senah pulang ke kuarters tempat tinggalnya namun kucing berkenaan kembali semula ke tanah perkuburan ini.

Katanya, Minah dan Senah cukup manja dengan bapa saudaranya, Nizam Ahmad, 51, yang juga penggali kubur di tanah perkuburan yang turut memberi nama kepada kucing berkenaan.

"Mulanya saya tidak tahu dari mana datangnya Minah dan Senah kerana tiba-tiba saja muncul di sini.

"Saya dan pakcik layan saja, beri kedua-duanya makan serta minum seperti biasa. Namun seorang wanita datang ke tanah perkuburan ini mendakwa sebagai pemilik Minah dan Senah.

"Jadi kami biarkan dia bawa pulang ke rumah. Tetapi entah kenapa, kedua-duanya (Minah dan Senah) datang semula ke tanah perkuburan ini tidak lama kemudian," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

NIZAM memberi makan kepada Minah dan Senah. FOTO Ihsan Mohamad Rashidi Maajis
NIZAM memberi makan kepada Minah dan Senah. FOTO Ihsan Mohamad Rashidi Maajis

Bercerita lanjut, Adi berkata, Minah dan Senah tidak pernah mengganggunya mahupun bapa saudara melakukan kerja di tanah perkuburan itu.

Sebaliknya, Adi berkata, Minah dan Senah hanya mengekorinya atau bapa saudara serta bermain sesama mereka.

"Minah dan Senah adalah peneman kami menggali kubur termasuk pada waktu malam. Jika ada waris datang, kedua-duanya turut sama mengekori mereka (waris) ke kubur si mati.

"Kebiasaannya, Minah dan Senah akan berkeliaran di sekitar tanah perkuburan. Namun jika hujan, kedua-duanya akan berteduh di pondok.

"Pernah sekali, Minah dan Senah hilang kerana tidak sengaja diambil oleh seorang individu tetapi dikembalikan semula selepas isteri pak cik membuat carian dengan memuat naik hantaran di Facebook (FB)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 5:54 PM