Presiden Iswami Abdul Rashid Yusof (kiri) dan bekas Pengarang Kumpulan Harian Metro Tuan Mohamad Asri Tuan Hussein di forum maya “Harnessing 24-Hour Global Journalism on Palestine Issue” hari ini. Foto Bernama
Presiden Iswami Abdul Rashid Yusof (kiri) dan bekas Pengarang Kumpulan Harian Metro Tuan Mohamad Asri Tuan Hussein di forum maya “Harnessing 24-Hour Global Journalism on Palestine Issue” hari ini. Foto Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tindakan melampau Israel di wilayah Palestin akan memburukkan lagi jangkitan Covid-19 dalam kalangan penduduk Palestin.

Editor Agensi Anadolu Timur Tengah yang berpangkalan di al-Quds (Baitulmuqaddis) Turgut Alp Boyraz berkata, perjuangan menentang pandemik di wilayah-wilayah yang dijajah sudah terbatas dengan serius oleh kerana sekatan yang dikenakan rejim Israel.

"Situasi di Gaza amat teruk, disebabkan sekatan, mereka tidak mempunyai cara untuk membendung Covid-19. Situasi yang sama juga berlaku di Tebing Barat, dengan penduduk Palestin di sana juga mempunyai akses terhad kepada kemudahan perubatan dan vaksinasi.

"Hospital hampir penuh dan jumlahnya terus meningkat," katanya ketika forum maya "Harnessing 24-Hour Global Journalism on Palestine Issue" pada hari ini.

Forum ini dianjurkan oleh Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) dengan penyertaan wakil media dari Malaysia, Indonesia, Bosnia-Herzegovina, Nigeria dan Turki.

Bagaimanapun, beliau berkata, kira-kira 5,000 penduduk Palestin di Baitulmaqdis yang sekarang dikuasai Israel sudah mendapat akses vaksinasi.

Menurut laporan berita, serangan udara Israel pada Isnin sebahagiannya memusnahkan satu-satunya makmal Covid-19 di Gaza, klinik Al-Rimal. Berikutan itu, ia tidak lagi dapat menjalankan saringan untuk pesakit Covid-19.

Sehingga 17 Mei, sejumlah 332,915 kes Covid-19 dilaporkan di Palestin dengan 3,705 kematian.

Sementara itu, Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) melaporkan setakat ini 273,438 orang sudah divaksin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, termasuk 195,675 penduduk yang menerima dos kedua vaksin itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 9:45 PM