FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Jawatankuasa Pemilihan Calon Vaksin COVID-19 (JKPCV) sedang menilai kesesuaian untuk memanjangkan selang masa pemberian dos vaksin seperti dilaksanakan kerajaan Singapura.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata, JKPCV diketuai Dr Kalaiarasu Peariasamyitu juga sedang mendapatkan maklum balas daripada syarikat pengeluar vaksin berhubung perkara itu.

Katanya, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dan Jawatankuasa Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) mengambil maklum berhubung cadangan dan pertimbangan dari Singapura serta negara lain untuk memanjangkan selang masa antara dua dos vaksin Covid-19 dalam program vaksinasi mereka.

"Seperti mana dinyatakan sebelum ini, selang masa antara dos bagi vaksin Covid-19 yang digunakan di Malaysia adalah ditetapkan menerusi maklumat serta data dihantar oleh syarikat pengeluar vaksin kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

"Sebagaimana kelulusan bersyarat diberikan kepada semua vaksin Covid-19 digunakan di Malaysia, syarikat pengeluar vaksin perlu menghantar maklumat serta perkembangan apabila terdapatnya data-data terkini daripada penggunaan vaksin keluaran mereka," katanya tadi.

Beliau memaklumkan, keputusan lanjut berkaitan perkara itu akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Kelmarin, media melaporkan Kementerian Kesihatan Singapura mempertimbangkan kemungkinan menjarakkan tempoh antara dua dos suntikan Covid-19 bagi fasa selanjutnya.

Ia bertujuan membolehkan lebih ramai menerima suntikan dos pertama dalam program vaksinasi kebangsaan, berikutan kini kekurangan bekalan vaksin berkenaan.

Menurut laporan itu, keputusan berkenaan dibuat berlandaskan banyak kajian antarabangsa yang menunjukkan satu dos boleh memberi perlindungan baik daripada Covid-19 tanpa menjejaskan keberkesanan vaksin terbabit.

Buat masa ini, jarak antara dua suntikan vaksin Covid-19 itu ialah tiga hingga empat minggu.

Bagaimanapun, pakar di Singapura dan luar negara yakin ia boleh dijarakkan lagi antara enam hingga lapan minggu.

Di Singapura, dua dos suntikan vaksin Pfizer dijarakkan 21 hari manakala 28 hari pula diperlukan bagi jarak dua suntikan vaksin Moderna.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 6:27 PM