MANGSA banjir di Rumah Awam Ayer Molek, Sawiyah Mansor, 62, mengemas barang di kediamannya yang dinaiki air. FOTO Nuraliawati Sabri.
MANGSA banjir di Rumah Awam Ayer Molek, Sawiyah Mansor, 62, mengemas barang di kediamannya yang dinaiki air. FOTO Nuraliawati Sabri.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Mangsa banjir di Melaka terus meningkat apabila merekodkan seramai 669 orang membabitkan 149 keluarga, petang hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, sehingga 4 petang hari ini, mangsa banjir direkodkan meningkat kepada 669 orang berbanding 554 pada pagi.

"Selain pertambahan mangsa, pusat pemindahan sementara (PPS) bertambah apabila dua lagi dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Demang Husin dan SK Tehel menjadikan semuanya sembilan PPS.

"Di Melaka Tengah terdapat enam PPS dibuka diikuti Jasin dua dan di Alor Gajah hanya sebuah PPS," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 22 kawasan dilaporkan terjejas dan daerah paling banyak adalah di Melaka Tengah dengan 11 kawasan.

Menurutnya, kawasan terjejas adalah di Sungai Putat, Taman Bukit Beruang Utama, Taman Bukit Beruang Bestari, Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama, Taman Rambai Indah, Tanjung Minyak, Kampung Pengkalan Batu, Rumah Awam Ayer Molek, Balai Panjang serta Tebing Tinggi.

"Manakala di Alor Gajah membabitkan Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Padang Keladi, Taman Kasawari dan Kampung Belimbing Dalam di kawasan Durian Tunggal.

"Di Jasin pula kawasan terjejas adalah Tanjung Laboh, Lubok Kasau dan Taman Tuah Perdana, Pengkalan Badak dan Parit Lampong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 5:56 PM