ANGGOTA polis dan ATM melakukan pemeriksaan sebuah kereta di SJR kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Darulaman.FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA polis dan ATM melakukan pemeriksaan sebuah kereta di SJR kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Darulaman.FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Polis mengenal pasti 10 laluan tikus di kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah, di sini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya akan melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan berkenaan bagi mengelak ada yang curi keluar.

Beliau berkata, selain itu empat sekatan jalan raya (SJR) diletakkan di sembilan lokaliti di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah di sini bermula tengah malam tadi.

Katanya, antara SJR terbabit adalah di laluan masuk Taman Mahsuri, Kampung Paya Kerchut dan dua SJR di Jalan Lubuk Kawah.

"Seramai 179 anggota polis ditugaskan sepanjang PKPD berlangsung sehingga 31 Mei ini untuk melakukan pemeriksaan di SJR dan pemantauan di kawasan berkenaan.

"Kita turut dibantu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA)," katanya ketika ditemui pada sidang media di Taman Mahsuri di sini, hari ini.

Dalam pada itu, seorang pemandu teksi berusia 40-an yang memakai gelang pink diarah berpatah balik ketika pemeriksaan dilakukan di SJR Taman Mahsuri, di sini.

Pemandu teksi itu memberi alasan baru selesai menjalani ujian calitan Covid-19 dan hendak mengambil penumpang.

Rodzi berkata, pihaknya tidak membenarkan sama sekali mereka yang memakai gelang pink untuk keluar dari kawasan PKPD dan sekiranya dikesan, mereka akan diarah berpatah balik.

"Sekiranya mereka berdegil atau keluar secara curi-curi, tindakan kompaun akan dikenakan. Kita mempunyai 64 pasukan pemantau Covid-19 untuk melakukan rondaan termasuk melakukan rondaan bermotosikal di kawasan PKPD bagi memastikan penduduk mematuhi arahan yang ditetapkan.

"Kedai runcit di kawasan ini dibenarkan beroperasi namun premis perniagaan lain tidak dibenarkan dibuka malah hanya ketua keluarga saja dibenarkan keluar untuk membeli barangan harian," katanya.

Menurutnya, pertubuhan badan bukan kerajaan atau (NGO) pula tidak dibenarkan sama sekali masuk ke kawasan ini untuk menyalurkan bantuan dan mereka boleh berbuat demikian dengan menghantar barangan bantuan berkenaan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

"Pihak pejabat daerah akan membantu untuk mengagihkan bantuan di kawasan rumah yang di bawah PKPD ini.

"Prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi dan semua pergerakan untuk keluar masuk perlu adanya surat kebenaran polis dan pergerakan hanya dibenarkan dari jam 6 pagi sehingga jam 8 malam setiap hari," katanya.

Sembilan lokaliti dikenakan PKPD membabitkan Taman Mahsuri 2A, Taman Mahsuri 2B, Taman Mahsuri 2C, Pusat Perniagaan Bandar Barat, Kampung Paya Kerchut, Taman Tunku Anum, Kampung Lubuk Kawah, Taman Desa Tanjung, Taman Desa Darul Aman, Mukim Naga.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 3:06 PM