Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Memang ramai salah sangka dan ingatkan saya orang Melayu dan paling lucu apabila ada menggelarkan saya 'Melayu Free Hair' ketika di sekolah dulu," kata Wee Yun Nee atau mesra disapa Mekyun dalam kalangan pengikutnya di laman sosial.

Mekyun, 24, menarik perhatian warganet terutama pengguna TikTok kerana kefasihan bertutur dalam bahasa Melayu dan dialek Kelantan.

Lebih mengagumkan apabila Mekyun mendedahkan dia sekeluarga fasih bertutur dalam bahasa Melayu menerusi salah satu video yang dimuat naik di TikTok.

Kelebihan itu juga yang menjadikan Mekyun dikenali dan mengumpul hampir 175,000 pengikut di TikTok sejak aktif di platform itu tahun lalu.

Bercerita lanjut, Mek Yun berkata yang kini menetap di Taman Melawati, di sini berkata, dirinya fasih bertutur dalam bahasa Melayu sejak kecil lagi kerana dihantar ibu bapanya ke Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Sekolah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

"Di sekolah, saya banyak bergaul dengan rakan berbangsa Melayu jadi daripada situ, saya belajar dan bertanya dengan mereka maksud perkataan yang tidak difahami.

"Mengenai dialek Kelantan pula, ikutkan saya tidak fasih tetapi pernah bersekolah rendah selama dua tahun di sana (tahun empat hingga enam) jadi dapat pendedahan di situ.

"Lagipun, ibu berasal dari Lundang, ayah pula Rantau Panjang dan ada kalanya mereka bertutur dengan saya dan adik beradik dalam dialek Kelantan selain Bahasa Melayu, Inggeris dan Siam. Lama kelamaan, kami semua lancar bertutur dalam kesemua bahasa itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MEKYUN menarik perhatian pengguna TikTok kerana kefasihannya bertutur dalam bahasa Melayu dan dialek Kelantan. FOTO Ihsan Wee Yun Nee
MEKYUN menarik perhatian pengguna TikTok kerana kefasihannya bertutur dalam bahasa Melayu dan dialek Kelantan. FOTO Ihsan Wee Yun Nee

Menurut Mekyun, selain mudah mendapat rakan, penguasaan dalam bahasa Melayu membantunya mendapat gred A untuk subjek itu sejak menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mek Yun berkata, beliau turut diberi kepercayaan mewakili sekolah dalam pertandingan pidato kerana kefasihannya bertutur dalam bahasa Melayu.

"Saya terpilih mewakili sekolah dalam pertandingan pidato ketika di tingkatan tiga.

"Penyertaan kali pertama saya itu berhasil apabila memenangi gelaran naib johan.

"Satu pengalaman yang menyeronokkan kerana saya bukan berbangsa Melayu tetapi diberi peluang bertanding dengan peserta lain yang jauh lebih hebat," katanya.

Menurut Mekyun, beliau baru tamat pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda jurusan Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Johor dan masih mencari pekerjaan sesuai.

Katanya, masa terluang kini dimanfaatkan dengan memuat naik video mengandungi mesej bermanfaat di TikTok.

"Saya bermula di IG tetapi kini lebih cenderung memuat naik perkongsian video di TikTok kerana melihat platform itu lebih dekat dengan audien masa kini.

"Kebanyakan video saya dalam bahasa Melayu tetapi ada juga bertutur bahasa Inggeris dan dialek Kelantan.

"Penerimaan pengikut di TikTok amat positif dan saya nampak pengikut bertambah sejak kerap memuat naik bertutur dalam bahasa Melayu dan Kelantan," katanya.

Mekyun berharap, perkongsian video di TikTok itu tidak hanya menjadi hiburan semata-mata tetapi medium menyatupadukan pengikutnya yang terdiri daripada berbilang kaum.

"Bukan hanya pengikut Melayu yang kagum tetapi ada juga bukan Melayu menghantar kiriman mesej terus (DM) kepada saya meminta tip bagaimana menguasai bahasa kebangsaan.

"Saya tidak keberatan kongsikan apa yang saya tahu kerana sebagai warganegara Malaysia, penting untuk tahu bertutur dalam bahasa Melayu kerana itu yang menghubungkan kita semua," katanya yang menghargai sokongan semua pengikutnya di TikTok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 2:37 PM