Situasi terkini keadaan banjir yang melanda kawasan kampung dan taman ketika tinjauan banjir kilat di Sungau Putat, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Situasi terkini keadaan banjir yang melanda kawasan kampung dan taman ketika tinjauan banjir kilat di Sungau Putat, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Nuraliawati Sabri


Melaka: Seramai 159 mangsa banjir di negeri ini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air susulan hujan lebat berterusan lebih enam, hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, susulan daripada itu sebanyak empat PPS dibuka membabitkan tiga di daerah Melaka Tengah dan satu di Alor Gajah.

Beliau berkata, sehingga jam 3 petang seramai 159 mangsa direkodkan bagaimanapun proses pengiraan mereka yang dipindahkan ke PPS masih dijalankan.

"PPS yang dibuka di daerah Melaka Tengah adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir membabitkan seramai 35 mangsa daripada lapan keluarga, PPS SMK Bukit Rambai merekodkan 19 keluarga dengan 88 mangsa dan PPS Sekolah Rendah Agama (SRA) Tanjung Minyak masih dalam proses pengiraan.

"Manakala bagi daerah Alor Gajah satu PPS dibuka iaitu di Dewan Japerun Durian Tunggal, menempatkan seramai 36 mangsa daripada lapan keluarga," katanya.

Menurut beliau, susulan hujan lebat berterusan itu juga sebanyak 13 kawasan terjejas dan dinaiki air.

"Di daerah Jasin dua kawasan iaitu di Tanjung Laboh, Tehel dan Lubok Kasau, Bemban dilapor turut terjejas bagaimanapun tiada PPS dibuka.

"Manakala di daerah Melaka Tengah enam kawasan dilaporkan terjejas iaitu di Sungai Putat, Taman Bukit Beruang Utama, Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama, Tanjung Minyak dan Taman Bukit Beruang Bestari," katanya.

Tambah beliau, di Alor Gajah pula, kawasan terjejas membabitkan Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Durian Tunggal, Kampung Padang Keladi dan Taman Kasawari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 6:47 PM