FATIMAH sedang mengendalikan sesi PdPR di rumahnya. FOTO Mohd Amin Jalil
FATIMAH sedang mengendalikan sesi PdPR di rumahnya. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil

Seremban: "Kami gunakan dua pendekatan iaitu muat naik bahan pengajaran dan pembelajaran menerusi aplikasi Telegram dan kemudian berkomunikasi bersemuka secara dalam talian (Google Meet) dengan pelajar," kata Fatimah Awang.

Fatimah, 52, guru Pendidikan Al-quran dan As-Sunnah di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu di sini, berkata pendekatan digunakan itu amat berkesan dalam melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika ini.

Katanya, pihak sekolah sudah menyediakan jadual khusus bagi memudahkan setiap guru supaya dapat mengendalikan PdPR kepada pelajar kelas masing-masing dengan baik.

"Dalam satu minggu, kami mempunyai tempoh masa yang sudah ditetapkan untuk mengendalikan PdPR yang mengambil masa antara satu hingga dua jam bagi setiap subjek.

"Tempoh sekitar 30 minit pertama akan digunakan untuk memuat naik bahan menerusi Telegram manakala tempoh berikutnya bersemuka secara dalam talian dengan pelajar.

"Kaedah ini membolehkan setiap pelajar dapat memahami sepenuhnya setiap subjek yang diajar dan dalam masa sama memberi peluang kepada mereka bertanyakan soalan jika kurang memahaminya," katanya di sini, hari ini.

Fatimah yang sudah berkhidmat selama 27 tahun berkata, sesi PdPR yang bermula hari ini lebih lancar hasil pengalaman yang sebelum ini.

Beliau berkata, banyak penambahbaikan dilakukan pihak sekolah dan guru-guru dalam memperkasakan lagi PdPR ini, bagi memastikan pencapaian pelajar dalam pelajaran tidak terjejas walaupun berhadapan kekangan pandemik Covid-19.

"Terdapat 700 pelajar SMAP Labu mengikuti PdPR mulai hari ini dan semuanya berjalan lancar. Saya dan guru-guru yang lain sudah mempunyai kemahiran untuk mengendalikan PdPR ini dengan baik selepas mengikuti pelbagai kursus.

"Namun, tidak dinafikan terdapat segelintir pelajar yang berhadapan masalah talian internet kurang baik serta mengganggu kelancaran PdPR yang dijalankan, tetapi kami berusaha membantu mereka dengan pelbagai cara bagi memastikan pelajar tidak tercicir," katanya.

Sementara itu, guru subjek Sains Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rasah Jaya, di sini, Muhammad Ihsan Che Mat, 38, berkata beliau menggunakan bahan PdP berpandukan garis panduan yang dikongsi bersama dalam kumpulan didik yang diwujudkan bersama dalam kalangan guru.

Menurutnya, koleksi bahan itu lebih lengkap dan tersusun sekali gus memudahkan lagi sesi PdPR dilakukan terhadap murid.

"Kami telah melakukan banyak penambahbaikan terhadap PdPR kali ini berbanding ketika PdPR pertama tahun lalu.

"Penggunaan Telegram bagi memuat naik bahan PdP lebih efektif dan kemudian diikuti berkomunikasi secara dalam talian dengan murid, terutama mereka yang kurang memahami terhadap sesuatu subjek.

"Alhamdulillah, sesi PdPR kali ini lebih lancar dan mudah bagi guru memberikan bimbingan serta kefahaman kepada murid. Sekolah kami terdapat 800 orang murid dari tahun satu hingga enam," katanya di sini.

Sementara itu, Adiela Aisyah Azhar, 17, berkata walaupun masih dalam suasana Hari Raya Aidilfitri namun pendidikan masih perlu diutamakan biarpun dalam kehidupan suasana normal baharu.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang (SMKS) dekat sini itu berkata, pengalaman belajar secara PdPR sebanyak dua kali sebelum ini, membuatkan dirinya lebih bersedia dan fokus sepanjang pembelajaran berlangsung di rumah.

"Sekarang saya sudah dapat membiasakan diri dengan aplikasi pembelajaran seperti Google Meet dan mudah berhubung dengan guru serta juga rakan-rakan lain ketika pembelajaran di rumah.

"Pada awal dulu memang agak sukar dan pengalaman lalu memang banyak membantu saya untuk bersiap lebih awal," katanya yang menetap di Taman Desa Dahlia Senawang dan akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 6:08 PM