GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menasihati masyarakat agar tidak "berhari raya" di pusat beli-belah yang boleh mencetuskan peningkatan jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, pihaknya amat bimbang jika berlaku pertemuan keluarga di pusat beli-belah sepanjang sambutan Aidilfitri tahun ini susulan larangan aktiviti kunjung-mengunjung.

Kebimbangan itu bertambah berikutan kehadiran varian baharu Covid-19 yang ganas dan agresif, yang menuntut rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard, termasuk menjaga penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara maya bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata kes sporadik telah meningkat berbanding kes kluster dengan 89 peratus kes Covid-19 yang dilaporkan dari 9 April hingga 8 Mei lalu adalah kes sporadik.

Sementara itu, Dr Adham berkata kapasiti Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) boleh ditingkatkan hingga 10,000 pesakit.

Pusat itu kini menempatkan hampir 4,000 pesakit kategori satu dan dua, manakala 1,000 katil boleh ditempatkan bagi kes kategori tiga untuk mengurangkan tekanan di hospital awam dan swasta di mana sebelum ini pesakit kategori tiga dimasukkan ke hospital kerajaan atau swasta, katanya.

Usaha meningkatkan kapasiti katil di unit rawatan rapi (ICU) dan hospital juga sedang giat dijalankan di Lembah Klang terutama di Hospital Pengajar Univerisiti Teknologi MARA dan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia, di samping membina modular ICU untuk beberapa tempat, katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 5:23 PM