FITRIAH membeli barangan untuk ibu bapa serta neneknya yang tinggal di Taman Mahsuri 2C sebagai persediaan PKPD tengah malam ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli
FITRIAH membeli barangan untuk ibu bapa serta neneknya yang tinggal di Taman Mahsuri 2C sebagai persediaan PKPD tengah malam ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli

Jitra: Penduduk di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah, di sini, mula membuat persiapan dengan membeli barangan keperluan harian sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), tengah malam ini.

Fitriah Mohd Fauzi, 34, berkata dia hanya bimbang dengan keadaan ibu bapa dan neneknya yang menetap di Taman Mahsuri Fasa 2C kerana mereka tinggal bertiga di rumah itu.

Katanya, bapanya, Mohd Fauzi Md Nayan, 60, bersama ibunya, Faizah Mustafa, 56, dan neneknya, Lijah Bakar, 84, berisiko jika dijangkiti Covid-19 menyebabkan dia menyuruh mereka duduk di rumah.

"Hari ini saya datang membeli barang yang perlu buat mereka, tak boleh banyak sangat sebab takut membazir.

"Barangan keperluan harian yang dibeli ketika hari raya masih ada dan boleh digunakan lagi sepanjang tempoh dua minggu PKPD dilaksanakan nanti," katanya ketika ditemui di sebuah kedai runcit di Bandar Darulaman, di sini, hari ini.

Katanya, lebih membimbangkan penularan Covid-19 di kawasan perumahan itu dipercayai berpunca dari masjid kerana bapanya kerap menunaikan solat di situ.

Penduduk lain, Steven Tan, 65, berkata sejak PKP 3.0 dilaksanakan di seluruh negara pada 12 Mei lalu, dia dan keluarganya tidak berani keluar rumah kerana bimbang jangkitan Covid-19.

Katanya, dia dan keluarganya yang menjalankan perniagaan menjual alat penapis air hanya melakukan perniagaan secara dalam talian di rumah.

"Memang jualan agak kurang tapi kami tak berani keluar rumah dan hanya keluar untuk membeli barang yang perlu saja.

"Saya harap ada kedai yang dibuka dalam kawasan PKPD ini untuk membolehkan penduduk keluar membeli barang supaya tidak terputus bekalan," katanya.

Peniaga kedai runcit, Lee Kam Beng, 50, berkata orang ramai mula membeli barang sejak pagi tadi kerana bimbang banyak barangan akan habis.

"Mereka memberitahu mahu menyimpan stok kerana bimbang bekalan terputus.

"Bagaimanapun, setakat ini barang masih ada tapi kalau semua premis perniagaan di sini diarah tutup, memang susah nak beli barangan sebab kena beli jauh sikit," katanya.

Semalam, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Sabri Yaakob mengumumkan PKPD akan dilaksanakan di sembilan lokaliti di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah, di sini, selama 14 hari bermula tengah malam ini.

Sembilan lokaliti itu membabitkan Taman Mahsuri 2A, Taman Mahsuri 2B, Taman Mahsuri 2C, Pusat Perniagaan Bandar Barat, Kampung Paya Kerchut, Taman Tunku Anum, Kampung Lubuk Kawah, Taman Desa Tanjung dan Taman Desa Darul Aman, Mukim Naga.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 4:57 PM