SITUASI terkini keadaan banjir yang melanda kawasan kampung dan taman ketika tinjauan banjir kilat di Sungai Putat, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
SITUASI terkini keadaan banjir yang melanda kawasan kampung dan taman ketika tinjauan banjir kilat di Sungai Putat, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
BERNAMA

Melaka: Dua daerah di Melaka dinaiki air sehingga menyebabkan 53 mangsa dipindahkan berikutan hujan lebat luar biasa yang bermula kira-kira 6.30 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Abu Obaidat Mohamad berkata pihaknya mula menerima panggilan kecemasan pertama daripada penduduk di Taman Bukit Rambai Jaya dan Taman Bukit Rambai Indah kira-kira 8.09 pagi.

"Seramai tujuh mangsa dipindahkan di kedua-dua taman berkenaan dan mereka kini ditempatkan di rumah saudara masing-masing.

"Kawasan yang paling teruk terjejas ketika ini adalah Sungai Putat dan Bukit Beruang apabila 40 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Munshi Abdullah di Batu Berendam," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata di Durian Tunggal, Alor Gajah pula, seramai enam mangsa dipindahkan dan kini ditempatkan di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal.

Abu Obaidat berkata kawasan terbabit digenangi air sedalam antara 0.5 meter hingga 1.5 meter berikutan hujan lebat lebih lima jam yang berlaku sejak pagi tadi.

Katanya seramai 75 pegawai dan anggota JBPM Melaka terbabit dalam operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk Abdul Jalil Albak, 55, berkata air naik dengan pantas kira-kira 8 pagi tadi sekali gus menyukarkan mereka menyelamatkan harta benda.

"Tak sampai setengah jam, air dah naik paras leher. Mula-mula hujan lepas subuh, paras betis dan hujan berhenti sekejap.

"Tapi dalam pukul 8 lebih, hujan turun semula dan makin lebat dan air mula naik dengan cepat. Kami tak sempat nak selamatkan apa-apa," katanya ketika ditemui pemberita di Sungai Putat di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 2:29 PM