JIMMY Puah Wee Tse. FOTO Arkib NSTP
JIMMY Puah Wee Tse. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Batu Jimmy Puah Wee Tse menafikan beliau berziarah raya di Ulu Tiram pada hari pertama Syawal minggu lalu.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PKR Johor berkata, sebaliknya hadir ke rumah di kawasan berkenaan bagi menghantar sumbangan Aidilfitri bagi diagihkan kepada asnaf.

"Merujuk kepada laporan polis terhadap saya melanggar prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri, saya ingin menegaskan saya tidak menafikan saya berada di sebuah rumah di Taman Desa Jaya, Ulu Tiram pada masa insiden.

"Namun tujuan utama saya ke rumah itu untuk hantar barang sumbangan kepada wakil Wanita PKR untuk diedarkan kepada golongan ibu tunggal dan asnaf dan bukan beraya seperti didakwa.

"Bagaimanapun, saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam siasatan mereka dan sekiranya hasil siasatan mendapati saya langgar undang-undang dan SOP, saya rela menerima hukuman dan membayar kompaun sewajarnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini media melaporkan, polis sedang mengesan pemilik sebuah akaun Facebook yang memuat naik gambar seorang Adun yang berziarah hari raya di rumahnya di Taman Desa Jaya, Ulu Tiram, pada Syawal yang pertama.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata ia susulan laporan dibuat seorang lelaki yang melihat gambar dimuat naik pemilik akaun Facebook berkenaan.

Katanya, lelaki berusia 38 tahun dari Muar yang melayari akaun Facebooknya Sabtu lalu, terlihat satu lagi akaun Facebook memuat naik gambar seorang Adun berziarah hari raya pertama di rumahnya di Taman Desa Jaya, Ulu Tiram.

Gambar itu memaparkan seorang ADUN daripada sebuah parti politik sedang makan dan beraya bersama di rumah pemilik akaun Facebook berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 7:25 PM