Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Polis giat mengesan pemilik sebuah akaun Facebook selepas memuat naik gambar seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang berziarah hari raya di rumahnya di Taman Desa Jaya, Ulu Tiram, pada 1 Syawal lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, ia susulan laporan dibuat seorang lelaki yang melihat gambar dimuat naik pemilik akaun Facebook berkenaan.

Katanya, lelaki yang berusia 38 tahun dari Muar yang melayari akaun Facebooknya Sabtu lalu, terlihat satu lagi akaun Facebook yang memuat naik gambar seorang Adun berziarah hari raya pertama di rumahnya di Taman Desa Jaya, Ulu Tiram.

"Gambar itu memaparkan seorang Adun daripada sebuah parti politik makan dan beraya bersama di rumah pemilik akaun Facebook berkenaan.

"Polis sedang mengesan pemilik akaun Facebook berkenaan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Sohaimi berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh enam bulan, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

"Selain itu siasatan turut dilakukan mengikut Peraturan 17, P.U (A) 225/2021 Akta Pencegahan dan Kawalan Peraturan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan yang Dijangkiti) 2021, dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan maksimum enam bulan atau kedua-duanya," katanya.

Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama pada musim Syawal ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 6:19 PM