AZMAN Adam. FOTO Bernama.
AZMAN Adam. FOTO Bernama.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Masalah kekurangan bekalan ikan dan sayuran yang dialami peniaga di beberapa pasar di sekitar Lembah Klang dijangka pulih selepas Pasar Borong Kuala Lumpur akan beroperasi semula esok.

Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, pihaknya yang melakukan tinjauan pagi hari ini mengakui peniaga kecil berdepan sedikit masalah mendapatkan bekalan ikan dari pasar borong terbabit.

"Keadaan itu berlaku disebabkan penutupan pasar borong itu selain operasi perniagaan di pasar borong lain yang belum dibuka sepenuhnya ekoran cuti Aidilfitri.

"Jangkaan saya bekalan akan mula kembali normal esok selepas Pasar Borong Kuala Lumpur dibuka kembali," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai luahan peniaga kecil yang mendakwa bekalan ikan dan sayuran terhad.

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memutuskan menutup operasi bahagian ikan di pasar borong itu berakhir hari ini, berikutan ada beberapa kes Covid-19 membabitkan operator dan pekerja di pasar berkenaan.

Azman berkata, tinjauan pihaknya di pasar borong lain dan pasar raya di sekitar Lembah Klang mendapati bekalan ikan, ayam, daging dan sayuran masih mencukupi.

Beliau berkata, harga yang dijual juga masih di bawah kawalan meskipun ada bekalan seperti ayam dan daging mendapat permintaan tinggi pada musim perayaan.

"Berdasarkan tinjauan di Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan dan Pasar Borong Selayang serta beberapa pasar raya besar lain mendapati bekalan masih ada dan mencukupi.

"Ada peniaga yang masih bercuti dan menutup operasi perniagaannya menyebabkan bekalan kepada peniaga kecil ini terganggu.

"Bagi peniaga kecil, kebanyakan mereka bergantung kepada bekalan di pasar borong menyebabkan ada di antara mereka yang terganggu bekalan.

"Namun, bagi peniaga yang mendapatkan bekalan secara terus dengan pembekal, bekalan mereka masih mencukupi dan tiada masalah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga menjalankan penguatkuasaan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di semua pasar borong dan pasar raya selain memantau bekalan keperluan harian.

Menurutnya, orang ramai boleh membuat aduan menerusi portal e-aduan KPDNHEP; Call Centre 1-800-886-800; e-mel kepada [email protected]; Ez ADU KPDNHEP; Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245 atau WhatsApp kepada 019-2794317.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 5:33 PM