MAZARINA Thaqifah menyiapkan bahan mengajar untuk PdPR yang akan bermula esok ketika ditemui di rumahnya di Taman Perling, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MAZARINA Thaqifah menyiapkan bahan mengajar untuk PdPR yang akan bermula esok ketika ditemui di rumahnya di Taman Perling, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Seorang guru di sini gigih menyediakan bahan termasuk merakam video untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang akan bermula esok.

Walaupun perayaan Hari Guru disambut di seluruh negara hari ini, Mazarina Thaqifah Mazalan, 24, berkata, ia bukan alasan untuknya bersantai sebaliknya perlu menyiapkan bahan bagi memudahkan pelajarnya mengikuti kelas secara PdPR nanti.

Guru subjek Asas Sains Komputer di sebuah sekolah menengah di Tampoi itu berkata, beliau perlu menyediakan bahan lebih kreatif bagi memudahkan pemahaman pelajar Tingkatan Satu dan Dua yang diajarnya.

"Subjek Asas Sains Komputer sebenarnya perlu menggunakan komputer dengan pelajar akan memasuki makmal komputer di sekolah bagi mengikuti kelas berkenaan.

"Namun kerana PdPR bermula esok, subjek ini perlu diajar secara teori sahaja dan ia agak mencabar.

"Bagi memudahkan pelajar, saya merakam video terutama membabitkan formula pengiraan dengan menunjukkan bagaimana ia dilakukan langkah demi langkah bagi memberi kefahaman kepada mereka.

"Saya juga sudah memberikan modul khas kepada pelajar sebelum cuti tempoh hari bagi memudahkan mereka melakukan latihan dan rujukan," katanya ketika ditemui.

Pada 26 April lalu, media melaporkan sesi pembelajaran selepas cuti Aidilfitri akan diteruskan dengan PdPR selama dua minggu bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dilaporlan berkata sesi pembelajaran itu bermula 16 hingga 27 Mei bagi sekolah kumpulan A (sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 17 hingga 28 Mei bagi sekolah kumpulan B (sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Radzi dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19 di sekolah selepas cuti sekolah bagi meraikan Aidilfitri yang dijadualkan pada 7 hingga 15 Mei bagi sekolah kumpulan A dan 8 sehingga 16 Mei bagi sekolah kumpulan B.

Selepas tempoh PdPR itu, katanya, murid dan pelajar akan menyambung cuti penggal bermula 28 Mei sehingga 12 Jun bagi sekolah kumpulan A dan 29 Mei sehingga 13 Jun bagi sekolah kumpulan B.

Sementara itu, Mazarina berkata, beliau juga memperuntukkan hanya 30 minit untuk setiap kelas secara dalam talian bagi memastikan tumpuan pelajar tidak hilang.

"Tiga puluh minit lagi akan ditumpukan kepada latihan berpandukan modul yang diberikan awal.

"Kekangan pelajar adalah talian Internet yang stabil apatah lagi kebanyakan pelajar saya menggunakan telefon pintar, selain itu pelajar juga perlu mengikuti antara lima hingga enam subjek sehari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 4:46 PM