GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sebanyak 8.5 juta ujian saringan Covid-19 sudah dijalankan sejak 1 Januari sehingga 13 Mei.

Ia merangkumi 4,747,837 Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan 3,826,036 ujian Rapid Test Kit-Antigen (RTK-Ag) termasuk saringan dilakukan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan bukan Perkeso.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, purata jumlah ujian saringan yang sudah dijalankan secara mingguan adalah sebanyak 63,925 sampel.

Beliau berkata, terdapat peningkatan jumlah saringan yang dijalankan berbanding bulan sebelumnya iaitu sebanyak 369,456 sampel (23.6 peratus).

"Sehingga kini, pelbagai langkah kesiapsagaan berikutan pertambahan bilangan kes Covid-19 di Malaysia dilaksanakan.

"Ia termasuk menambah kapasiti makmal yang boleh menjalankan ujian diagnostik RT-PCR; penyumberluaran ujian saringan Covid-19 ke makmal swasta; Penggunaan ujian RTK-Ag sebagai ujian saringan Covid- 19 bagi mengesan wabak Covid-19 dengan cepat dalam jumlah yang besar; dan pengujian saringan menggunakan air liur yang lebih mudah dan cepat serta boleh dilaksanakan oleh semua lapisan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM ingin mengingatkan individu yang bergejala dan dari kawasan berisiko tinggi, dinasihatkan membuat pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran.

"Bagi mereka yang sudah menjalani ujian pengesanan Covid-19, apabila sudah menerima keputusan, mereka boleh memaklumkan kepada KKM melalui aplikasi MySejahtera iaitu self-notification.

"Individu yang sudah diambil sampel perlu menjalankan pengasingan kendiri sehingga keputusan ujian saringan didapati negatif," katanya.

Menurut beliau, semua makmal yang menjalankan ujian SARS-CoV-2 sama ada makmal kerajaan atau swasta dikehendaki memasukkan data keputusan ujian sampel (sama ada negatif ataupun positif) ke dalam sistem.

Katanya, setiap pemohon (PKD atau Klinik Kesihatan) akan mengakses keputusan makmal ini secara atas talian.

"Keputusan dari makmal swasta juga akan dimaklumkan dengan segera kepada KKM melalui saluran sedia ada.

"Tempoh masa PKP ini adalah suatu tempoh yang sangat genting bagi kita untuk bersama-sama melandaikan keluk jangkitan Covid-19 di negara kita.

"Peningkatan kapasiti hospital dan kemunculan varian baharu dalam komuniti memerlukan tindakan kesihatan awam yang efektif serta kerjasama semua lapisan masyarakat bagi memastikan usaha yang kita laksanakan selama ini membuahkan hasil," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 8:06 PM