PETUGAS kesihatan memberi suntikan vaksin AstraZeneca di WTCKL (gambar fail). FOTO Bernama
PETUGAS kesihatan memberi suntikan vaksin AstraZeneca di WTCKL (gambar fail). FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kapasiti vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bagi vaksin AstraZeneca dipertingkat kepada 8,100 dos sehari mulai hari ini (15 Mei) sekali gus menjadikan ia PPV berskala paling besar di Malaysia setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) Dr Anas Alam Faizi berkata, sebelum ini, kapasiti vaksinasi yang mampu dilaksanakan di PPV itu hanya kira-kira 2,400 dos vaksin sehari.

Beliau berkata, selain WTCKL, kapasiti PPV di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia bagi vaksin sama turut dinaikkan daripada 900 kepada 1,300 dos sehari.

"Peningkatan kapasiti di PPV ini dapat melancarkan lagi proses pelalian vaksin AstraZeneca dan sebanyak 8,100 janji temu suntikan dijadualkan berlangsung esok di sini (WTCKL).

"Janji temu pertama pada 9 pagi dan dijangka suntikan terakhir adalah pada 8.30 malam. Bagi melancarkan lagi proses itu, kami turut sediakan laluan khas untuk individu OKU (Orang Kurang Upaya)," katanya ketika dihubungi Bernama, malam tadi.

Beliau berkata, seramai 500 petugas kesihatan, petugas bukan kesihatan dan sukarelawan juga telah bersedia dan ditugaskan untuk melancarkan proses vaksinasi di PPV WTCKL.

Katanya, orang ramai dinasihatkan hadir pada waktu yang ditetapkan seperti dalam notifikasi aplikasi MySejahtera mereka.

Dr Anas juga berkata, PPV bagi vaksin AstraZeneca keempat iaitu di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) dijadualkan mula beroperasi pada 24 Mei ini dengan kapasiti vaksinasi sebanyak 3,000 dos sehari.

Pada 2 Mei lalu, kerajaan membuka pendaftaran suntikan vaksin AstraZeneca secara sukarela dan terbuka bagi individu yang layak serta berumur 18 tahun dan proses suntikan vaksin itu bermula pada 5 Mei.

ProtectHealth adalah anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia, yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan dan tidak berasaskan keuntungan, telah dilantik sebagai pelaksana penglibatan pengamal perubatan swasta dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 12:12 AM