Gambar hiasan
Gambar hiasan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Sembilan tahanan Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Manggatal, di sini, melarikan diri dipercayai untuk menyambut Aidilfitri, hari ini.

Bagaimanapun, tiga daripada tahanan terbabit berjaya ditahan semula di dalam kawasan pagar oleh pegawai Jabatan Imigresen yang sedang membuat kawalan.

Menurut sumber, semua tahanan berusia lingkungan 20 hingga 40-an memanjat tembok blok depoh berkenaan.

Katanya, mereka kemudiannya melarikan diri ke arah belakang berhampiran sebuah perkampungan di kawasan berkenaan.

"Tiga daripada mereka berjaya ditahan di kawasan depoh manakala selebihnya masih diburu pihak berkuasa.

"Usaha memburu enam tahanan sedang giat dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, operasi memburu semua suspek yang terbabit sedang dijalankan.

"Setakat ini belum ada laporan dibuat dan kita minta mereka membuat laporan polis segera," katanya.

Sebelum ini, sekumpulan penghuni Depoh Tahanan Imigresen Manggatal, di sini, dilaporkan merusuh selepas tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan balik untuk menyambut Aidilfitri.

Bagaimanapun, keadaan berkenaan berjaya dikawal selepas pasukan Unit Tempur Ringan (LSF), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dikerah dilokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 2:24 PM