GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Terengganu: Dua lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan di Besut semalam, sekali gus menjadikan jumlah kematian di daerah itu yang tertinggi di Terengganu setakat ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata, jumlah kematian di seluruh Terengganu adalah seramai 17 orang dan 10 daripadanya warga Besut.

"Kes kematian terbaharu ini ialah warga emas lelaki berusia 71 tahun dari Kampung Pelagat 3 dan seorang wanita berumur 55 tahun dari Kampung Bukit Tumbuh.

"Setiap kematian akibat Covid-19 sangat menyayat hati kerana yang menguruskan jenazah adalah pihak lain, bahkan sepanjang berada di hospital atau ICU (Unit Rawatan Rapi) juga pesakit hanya keseorangan tanpa ditemani oleh ahli keluarga yang hanya mampu melihat dari jauh atau mereka berada di pusat kuarantin," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.

Ketika ini, terdapat 11 pesakit Covid-19 sedang menerima rawatan di ICU Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan tujuh daripadanya dari Besut.

Justeru, Nor Azimi berharap orang ramai akan terus kekal duduk di rumah di samping mengehadkan pergerakan dan mengelakkan berkumpul beramai-ramai sempena sambutan Aidilfitri hari ini.

"Ini sangat penting bagi memutuskan penularan jangkitan Covid-19 dengan cepat. Data harian dan kematian kes Covid-19 adalah benar, malah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) juga benar dalam mencegah jangkitan wabak.

"Janganlah kita menjadi punca kemudaratan kepada orang lain," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 1:08 PM