Foto hiasan
Foto hiasan
Melvin Joni

Padawan: Lelaki ditahan polis selepas membuat laporan polis palsu disebabkan kerana takut dimarahi isteri selepas menggadai rantai emasnya untuk melangsaikan hutang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, perbuatan suspek itu terbongkar selepas disoal siasat kerana memberi keterangan diberikannya tidak konsisten.

Menurutnya, suspek didapati membuat satu laporan palsu di Balai Polis Batu Kawa pada 3 Mei lalu dengan mendakwa dia diragut oleh dua lelaki tidak dikenali di kawasan tempat letak kereta di belakang bangunan kedai makan Siang-Siang Corner, Jalan Matang.

Katanya, suspek mendakwa kedua-dua lelaki itu menggunakan sebuah motosikal meragut rantai emas serta beg silangnya yang mengandungi dokumen peribadi, kad bank, wang tunai sebanyak RM300 dan seunit telefon bimbit.

"Selepas disoal siasat, suspek mengaku menipu kerana ada masalah hutang dan takut dimarahi isterinya sebab emas yang didakwa diragut itu sebenarnya sudah digadainya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek yang berusia 31 tahun dan bekerja sebagai juruelektrik kemudiannya dibebaskan secara bersyarat dengan jaminan mahkamah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 3:20 PM