Mohd Nadzri (kiri) ketika meninjau Op Rentas dan pengenalan alat bantuan teknik Jabatan Siasatan dan Peguatkuasaan Trafik (JSPT) iaitu ICops dan In Car Radar di kawasan Rehat dan Rawat Seremban arah selatan, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Mohd Nadzri (kiri) ketika meninjau Op Rentas dan pengenalan alat bantuan teknik Jabatan Siasatan dan Peguatkuasaan Trafik (JSPT) iaitu ICops dan In Car Radar di kawasan Rehat dan Rawat Seremban arah selatan, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Mohd Amin Jalil


Seremban: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan sekatan kenderaan di setiap lebuh raya menerusi Op Rentas, dalam usaha menyekat pergerakan rentas negeri oleh individu yang ingin pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, berkata, Op Rentas diadakan di seluruh negara bermula hari ini dan akan berakhir pada 16 Mei hadapan.

Katanya, sekatan itu akan dilakukan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Timur Barat membabitkan 28 sektor dan lima zon.

"Dalam operasi itu, kita tidak melakukan sekatan secara statik seperti dilakukan polis kontinjen, tapi kita buat pada waktu tertentu di setiap sektor.

"Op Rentas ini dijalankan setiap hari dan mana-mana individu yang cuba merentas negeri (melalui lebuh raya) pasti akan dikesan oleh kami.

"Sektor kami bergerak dari utara ke selatan dan setiap sektor ada masanya kami lakukan sekatan dan penguatkuasaan, jika ada yang cuba nasib, dia akan terperangkap," katanya selepas melancarkan Op Rentas Zon Tengah B dan Pengenalan Peralatan Bantuan Teknik JSPT (In Car Radar & iCOPS) Kepada Media di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban Arah Selatan, PLUS, di sini, tadi.

Mohd Nadzri berkata, sekiranya terdapat individu yang dikesan melakukan kesalahan dalam sekatan itu, mereka akan diarah berpatah balik selain kompaun akan dikeluarkan.

Katanya, pihaknya menasihatkan pengguna dan orang ramai mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa mengenai larangan merentas negeri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengulas rungutan orang ramai berkenaan kesesakan luar biasa yang berlaku di Plaza Tol Sungai Besi kelmarin, beliau berkata, ia ekoran pemeriksaan yang semakin ketat dilakukan polis.

"Pengguna kena terima keadaan itu kerana polis perlu membuat pemeriksaan yang ketat berkaitan surat kebenaran rentas negeri berikutan didapati banyak berlaku penipuan.

"Kita tahu setiap sekatan jalan raya akan ada kesesakan tetapi polis akan berusaha sebaik mungkin mengendalikan keadaan itu.

"Saya yakin selepas ini tidak akan berlaku kesesakan teruk kerana arahan PKP di seluruh negara dikeluarkan semalam (kelmarin)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 5:34 PM