Kos peniaga menyebabkan penjual daging segar tempatan di Pasar Awam Bayan Baru, menaikkan harga jualan sehingga RM40. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Kos peniaga menyebabkan penjual daging segar tempatan di Pasar Awam Bayan Baru, menaikkan harga jualan sehingga RM40. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menerima aduan berhubung kenaikan harga daging segar tempatan yang meningkat secara mendadak di negeri ini.

Kenaikan harga yang berlaku sejak mula Ramadan lalu dan semakin melonjak ketika menjelang Aidilfitri.

Pegawai Pendidikan CAP NV Subbarow berkata, aduan daripada pengguna memaklumkan harga daging dijual antara RM40 hingga RM55 sekilogram.

Katanya, harga berkenaan amat tinggi berbanding harga siling RM34 yang ditetapkan mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 (SHMMP).

"Perkara ini tidak sepatutnya dibiarkan dan kita harap pihak berkuasa bertindak dengan segera dengan meningkatkan pemantauan di semua peringkat," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Tinjauan di Pasar Awam Bayan Baru, di sini, mendapati tiga gerai menjual daging segar tempatan mengikut harga siling.

Penjual, Zainul Abidin Kachi Mydin, 32, berkata setakat ini peniaga tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan bekalan daging segar tempatan, namun kos yang tinggi menyebabkan mereka terpaksa menjualnya pada harga lebih tinggi.

"Daging berharga RM34 sekilogram itu adalah daging cincang yang dicampur dengan bahagian lain, namun jual beli berkenaan terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada pembeli.

"Manakala daging segar tempatan yang bukan dicincang dijual pada harga RM40 sekilogram dan mengikut persetujuan kedua-dua pihak, " katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pihaknya mengalu-alukan aduan orang ramai dan akan mengambil tindakan segera.

"Daging segar tempatan menjadi rebutan dipercayai berikutan isu sindiket kartel daging, baru-baru ini, menyebabkan pengguna tidak mahu beli daging sejuk beku.

"Kita masih teruskan pemantauan dan akan tindakan kompaun akan diambil sekiranya didapati ada yang mengambil kesempatan menaikkan harga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 2:30 PM