Khalid Abu Bakar
Khalid Abu Bakar
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengemukakan tuntutan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan sebuah portal berita yang didakwa memfitnahnya.

Beliau yang diwakili peguam Ashraf Appoo melalui Tetuan Gunaseharan & Linda mengemukakan tuntutan itu masing-masing pada 22 April dan 6 Mei lalu.

Ashraf memberitahu anak guamnya menuntut kedua-dua pihak itu mengemukakan permohonan maaf dan menarik balik artikel itu atau berdepan dengan tindakan saman.

Menurutnya, Dr Mahathir pada 16 April lalu ada mengeluarkan kenyataan fitnah bertajuk "Khalid Abu Bakar bocor rancangan pada Najib dan disiarkan oleh portal itu.

"Pada 6 Mei lalu kami sudah menghantar notis tuntutan itu terhadap portal tersebut dan beri masa tujuh hari untuk kemuka permohonan maaf dan menarik balik artikel.

"Namun sehingga kini belum ada maklum balas daripada mereka dan jika tempoh tamat kami akan meneruskan dengan saman menuntut ganti rugi RM10 juta," katanya.

Terdahulu, Ashraf berkata pihaknya sudah mengemukakan tuntutan permohonan maaf dan menarik balik kenyataan terhadap Dr Mahathir pada 22 April lalu.

"Peguam Dr Mahathir ada menghantar surat maklum balas melalui e-mel pada 3 Mei lalu manakala pos berdaftar diterima pada 7 Mei lalu.

"Tempoh diberikan kepada beliau juga sudah tamat, oleh itu kami akan meneruskan tuntutan saman RM10 juta terhadapnya di mahkamah," katanya pada sidang media melalui aplikasi Zoom, di sini, hari ini.

Ashraf berkata, pihaknya menunggu arahan anak guam untuk tindakan seterusnya.

"Anak guam kami hanya ingin membersihkan nama baiknya yang difitnah oleh Dr Mahathir dan portal terbabit.

"Artikel yang disiarkan adalah fitnah dan mereka tidak mendapatkan pengesahan daripada anak guam saya terlebih dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 8:59 PM