Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika sidang media selepas membuat pemantauan di sekatan jalan raya (SJR) Seelong, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika sidang media selepas membuat pemantauan di sekatan jalan raya (SJR) Seelong, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah menentukan kes saman fitnah RM50 juta yang dituntut seorang peguam, Kamal Hisham Ja'afar.

Ayob Khan berkata, notis saman itu sudah diterima pihaknya dan masih menunggu tarikh perbicaraan di mahkamah.

"Itu hak dia, kita tunggulah perbicaraan di mahkamah nanti.

"Sepatutnya tidak timbul isu ini (saman fitnah), dia (Kamal Hisham) ditangkap dan dituduh di mahkamah (kes penipuan pengiklanan), bila di mahkamah, dia boleh bela diri," katanya demikian pada sidang media selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR)Seelong di sini, hari ini.

Notis saman fitnah itu diserahkan Kamal Hisham menerusi Tetuan Kamal Hisham & Associates kepada Ayob Khan pada jam 10.30 pagi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, 2 Mei lalu.

Notis tuntutan itu adalah berkaitan sidang akhbar yang dilakukan Ayob Khan berkaitan seorang peguam memperdaya sebuah syarikat pengiklanan dengan menyamar sebagai peguam Istana Johor yang diadakan pada 22 April lalu.

Notis guaman itu antara lainnya mendakwa Ayob Khan mengeluarkan beberapa kenyataan yang berniat jahat dan tidak benar.

Dalam sidang akhbar itu, Ayob Khan didakwa memaklumkan terdapat laporan polis yang mendakwa peguam itu menyamar sebagai peguam Istana Johor selain peguam berkenaan melakukan kesalahan jenayah berkaitan pengubahan wang haram.

Susulan itu, Ayob Khan dituntut untuk membayar pampasan berjumlah RM50 juta sebagai bagi kerosakan imej dan reputasi akibat kenyataan yang dikeluarkan.

Sementara itu, Ayob Khan turut memaklumkan pihaknya belum menerima notis tuntutan secara rasmi berhubung dakwaan sebuah syarikat perkapalan yang beralamat di Cook Island menuntut ganti rugi RM123 juta.

"Kita sudah pun berurusan dengan peguam yang dilantik syarikat perkapalan itu, saya tidak pasti macam mana ada individu yang lain kata kita disaman.

"Tidak ada benda (notis) yang rasmi, hanya melalui media sosial, itu bukan cara kita nak keluarkan notice of demand, itu tak ikut prosedur," katanya.

Pada 10 Mac lalu, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 dilaporkan merampas rokok seludup terbesar dalam sejarah negara selepas menahan sebuah kapal kargo di perairan Pantai Barat berhampiran Pulau Kukup, Pontian pada 8 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Abd Rahim Jaafar dilaporkan berkata, dalam rampasan pada pukul 8.15 malam itu, pihaknya merampas 70 juta batang rokok pelbagai jenis dan 11 kru kapal warganegara asing berusia 22 hingga 60 tahun.

Bertindak atas maklumat dan risikan, katanya, sepasukan Unit Risikan Marin PPM Wilayah Dua membuat pemantauan terhadap pergerakan sebuah kapal kargo MV Chita 2 daripada Myanmar ke Batam, Indonesia disyaki membawa muatan rokok seludup untuk dibawa masuk ke kawasan Pantai Barat negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 4:06 PM