BOMBA membantu mengangkat mayat mangsa. FOTO Ihsan
BOMBA membantu mengangkat mayat mangsa. FOTO Ihsan
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Nelayan dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Merbok selepas dipanah petir pagi semalam ditemukan lemas, tengah malam tadi.

Mohd Nasir Md Rodzuki, 33, ditemui oleh nelayan tempatan yang melakukan kerja memasang pukat kira-kira 10 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah mengesahkan penemuan nelayan berkenaan dan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Muhamad Syukri Hashim berkata, nelayan terbabit memaklumkan menemui jasad mangsa di permukaan air pada 12 tengah malam.

Berikutan itu katanya, sepasukan anggotanya menaiki bot menuju ke lokasi pada 12.12 minit tengah malam.

"Pengesahan mangsa dilakukan oleh keluarganya melalui baju yang dipakai mangsa pada hari kejadian.

"Mangsa kemudian diserahkan kepada polis pada 12.22 tengah malam untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian semalam, Mohd Nasir dan rakannya, Sobri Hussain, 35, dikatakan keluar menangkap ikan dengan menaiki sebuah bot sebelum mangsa pengsan dan terjatuh dari bot selepas terkena panahan petir.

Sobri cuba menyelamatkan mangsa, namun gagal.

Bagaimanapun, Sobri diselamatkan nelayan yang berada di kawasan berhampiran.

Mangsa yang selamat dihantar ke HSAH untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 8:34 AM